ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mempertimbang untuk mengemukakan bantahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung gol kontroversi yang dijaringkan ketika bertemu pasukan Selangor semalam.
Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk meneliti dan mengkaji berhubung gol pasukan Selangor itu.
"Yang itu kita serah kepada pihak pengurusan (KFA), kita tengok semula dan teliti. Sekiranya terdapat isu yang melanggar peraturan, berkemungkinan KFA akan buat bantahan.
"Pihak pengurusan KFA mempunyai kepakaran untuk mengkaji dan meneliti gol itu (dari sudut perundangan bola sepak), jadi saya serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan mengenainya," katanya kepada Kedahnews.com di sini, petang tadi.
Kata Ahmad Bashah, meskipun berdasarkan pandangan menunjukkan Kedah wajar menang pada perlawanan ke-7 Liga Super menentang Selangor itu, namun beliau menghormati keputusan pengadil utama perlawanan, Mohd Zohri Tajudin.
"Kita terimalah apa yang berlaku. Kuasa di atas padang itu sememangnya terletak di tangan pengadil.
"Tapi kalau pengurusan KFA merasakan keputusan gol semalam adalah sesuatu yang tidak wajar dibuat oleh pengadil, maka kita berhaklah membuat bantahan," katanya, kesal dengan gol yang mencetus kontroversi berkenaan.
Ahmad Bashah berkata demikian ketika melakukan menziarahi pesakit tuberkulosis (TB) bersempena Hari Tuberkulosis Sedunia yang jatuh pada 24 Mac ini, di Hospital Besar Alor Setar (lama, di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar dalam satu kenyataan berasingan dilaporkan berkata, pihaknya sedang melakukan analisa berkenaan gol yang dijaringkan oleh pemain tengah Selangor, Juliano Mineiro, itu.
Jelasnya, pihak KFA tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan kepada FAM berhubung pengesahan gol tersebut sekiranya pihak pengurusan mendapati berlaku kesilapan pengadil dalam membuat keputusan berhubung gol itu.
"Kita sedang berbincang dengan pihak pengurusan KFA, kita sedang buat analisa tentang kedudukan pemain lawan ketika penalti tersebut.
"Dan kita akan tengok kalau memang betul (kesilapan) seperti yang diviralkan hari ini, kita akan buat surat bantahan kepada FAM," katanya kepada sebuah portal.
Dalam pada itu, Aminuddin menjangkakan analisa penuh berhubung gol kontroversi yang mencetus ketidakpuasan hati ramai peminat Hijau Kuning itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Penjaga gol Kedah, Ifwat Ikmal Chek Kassim berjaya menyelamatkan sepakan penalti oleh pemain import Selangor, Victor Stelian Astafei, namun bola yang muntah telah pantas disambar oleh Juliano Mineiro untuk membolosi gawang Helang Merah.
Walau bagaimanapun, keputusan pengadil yang mengesahkan jaringan tersebut mencetus kontroversi apabila dikatakan Mineiro telah melanggar undang-undang 14, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menyebut perihal peraturan sepakan penalti.
Undang-undang itu menegaskan bahawa;
"Sepakan Penalti, pemain lawan atau tuan rumah perlu berada di luar kotak sebelum pemain yang mengambil sepakan penalti menyentuh bola.
"Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang itu, pengadil boleh membenarkan sepakan diteruskan tetapi jika bola masuk ke dalam gol, sepakan perlu diambil semula."
Beberapa gambar yang membuktikan pelanggaran undang-undang itu turut dimuat naik para peminat Hijau Kuning di media sosial dan mengecam keras keputusan Mohd Zohri yang mengesahkan jaringan berkenaan.
Jaringan kontroversi itu telah menyebabkan Kedah gagal merampas kembali takhta Liga Super dari pasukan Pahang dan terpaksa berpuas hati pada kedudukan di tangga kedua dengan 15 mata di belakang skuad Tok Gajah. - Kedahnews.com