Kim Chol Adalah Kim Jong-nam - KPN


KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa lelaki warga Korea Utara yang dikenali sebagai Kim Chol ialah Kim Jong-nam.

Beliau bagaimanapun berkata, pihak polis tidak boleh mendedahkan bagaimana pengesahan identiti lelaki yang diracun di Lapangan Terbang Antarabangsa (klia2), Sepang, Selangor itu dilakukan.

“Saya tidak boleh menerangkan bagaimana kita melakukannya atas faktor keselamatan saksi-saksi. Saya ingin nyatakan kepada anda, mayat lelaki yang dikenali sebagai Kim Chol ialah Jong-nam.

“Apa yang boleh saya katakan bahawa pihak polis telah memenuhi keperluan undang-undang untuk mengesahkan identiti lelaki asing terbabit,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, Khalid melancarkan Projek Rintis Balai Polis Moden di Taman Tun Dr. Ismail di sini semalam. Turut hadir ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Bagaimanapun Khalid memberitahu bahawa polis turut merujuk kepada dokumen perjalanan Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol ketika dia ditemui meninggal dunia.

Mengulas lanjut Khalid berkata, polis kini menyerahkan mayat lelaki berkenaan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut ekoran polis telah selesai melakukan siasatan.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il didakwa dibunuh oleh dua orang wanita Asia tenggara di bawah arahan ejen perisik Korea Utara pada 13 Februari lalu

Beliau yang hidup dalam buangan di Macau, China ketika hidupnya sering secara terbuka mengkritik penguasaan dinasti keluarganya di negara itu. – Agensi