Kini 10 Kawasan Pulau Pinang Mahu PAS "Ceraikan" PKR


ALOR SETAR - Sejak dua kawasan di Pulau Pinang, Bayan Baru dan Permatang Pauh, yang dikuasai PAS sebelum ini bertindak mengutarakan usul bagi memutuskan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tempoh hari, lapan lagi PAS Kawasan yang bertindak senada dengan mereka.

Hari ini, dilaporkan beberapa kawasan lain yang melibatkan PAS Kawasan Nibong Tebal, Bukit Bendera, Balik Pulau, Jelutong, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bukit Mertajam dan Bukit Gelugor pula membuat usul yang sama.

"Usul ini akan dibawa ke Muktamar PAS Pusat untuk dibentang dan dibahaskan," tegas Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah.

Jelas Mohd Yusni, usul tersebut telah pun dibentangkan dalam satu mesyuarat agung PAS yang telah diadakan di kawasan masing-masing, malah difahamkan bahawa usul tersebut telah pun mendapat kelulusan daripada semua pihak.

Namun begitu, masih terdapat tiga kawasan yang belum mengadakan mesyuarat bagi membincangkan tentang perkara tersebut, juga turut diberitahu bahawa perkara tersebut akan dibawa ke dalam  mesyuarat agung mereka minggu depan.

Antara kawasan-kawasan yang masih belum memberi kata putus sebelum Muktamar PAS yang akan berlangsung bermula 29 April hingga 1 Mei di Kedah adalah Tanjung, Bagan dan Batu Kawan. – Kedahnews.com