Kit Siang Kata Mungkin Tak Bertanding Di Gelang Patah?


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang tiba-tiba mengumumkan beliau bersedia untuk bertanding di kawasan lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kit Siang yang juga Penasihat DAP mendakwa kononnya beliau bersedia meninggalkan kerusi Parlimen Gelang Patah jika Pakatan Harapan memerlukan beliau untuk memenangi kawasan lain.

“Jika ada alasan strategik saya perlu bertanding di kerusi Parlimen yang lain, saya bersedia memberi pertimbangan yang serius,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.

Umum bagaimanapun, desas-desus mendakwa Kit Siang membuat pengumuman itu selepas dirinya dikecam hebat oleh penduduk Gelang Patah.

Pengundi Gelang Patah mendakwa Kit Siang yang merupakan pemimpin kanan Pakatan Harapan mengabaikan kawasan Parlimen itu selepas memenanginya dalam PRU-13.

Malah, segelintir penduduk bertindak menampak poster dan menyebarkan risalah `Mencari Orang Hilang Bernama Kit Siang’ di sekitar Gelang Patah bagi menyindir beliau.

Kritikan itu tamparan hebat ke atas pemimpin Pakatan Harapan yang sentiasa mengangkat diri kononnya mereka wakil rakyat yang sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk

Kit Siang bagaimanapun menuduh kononnya poster mencari orang hilang itu ditampal oleh penyokong UMNO untuk memburuk-burukkan beliau.

Ironinya, beliau dalam kenyataan sama mengaku terlalu sibuk sejak beberapa bulan lalu menjelajah di seluruh negara kononnya untuk menyelamatkan Malaysia.

“Saya telah bergerak hampir 20,000 kilometer sejak beberapa bulan lalu,” kata Kit Siang. –Kedahnews.com