Kit Siang Mahu SPRM Siasat Sumbangan Raja Arab Saudi


KUALA LUMPUR – DAP mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ada memberi sumbangan kepada pemimpin negara ini sewaktu lawatan baginda ke Malaysia bulan lalu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, SPRM perlu menyiasat sumbangan oleh Raja Arab Saudi kepada pemimpin Malaysia bagi memerangi rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa di negara ini.

“Raja Arab Saudi sewaktu melawat Indonesia memberi sumbangan berpuluh juta ringgit kepada pemimpin negara Islam itu. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) meminta semua pegawai Indonesia melaporkan sumbangan tersebut.

“Mengapa SPRM tidak mengambil tindakan sama meminta pegawai Malaysia memaklumkan sumbangan yang mereka terima daripada Arab Saudi sewaktu lawatan Salman ke Malaysia,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Kit Siang dalam kenyataan sama berkata, Malaysia sepatutnya menjadi sebuah negara demokrasi yang normal seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah, Australia dan Korea Selatan.

Sementara itu, beliau mendakwa Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa merupakan seorang ahli politik `low-class’ dan tidak bertanggungjawab kerana menganjurkan pertandingan esei mengenai beliau seorang ahli politik anti-Islam dan rasis.

Semalam, Wanita DAP Selangor membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi meminta polis mengambil tindakan ke atas Annuar kerana menganjurkan pertandingan itu.

“Tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab dan tidak professional dan wajib disiasat oleh pihak polis oleh kerana ia adalah satu tindakan yang berniat untuk menghasut dan memecahbelahkan keamanan rakyat berbilang kaum,” dakwa Wanita DAP Selangor.

Ironinya, pemimpin DAP selama ini sering menyebarkan dakyah UMNO adalah parti rasis hanya kerana parti itu memperjuangkan kepentingan kaum Melayu negara ini. - Kedahnews.com