PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan lapan produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk kosmetik yang didedahkan ini mengandungi raksa, hidrokuinon dan tretinoin yang boleh memberi kesan mudarat kepada kesihatan.
Kelapan produk kosmetik berkenaan adalah seperti berikut;
- Moleek Day Cream.
- Adel Miracle Flawless Serum
- Ah Beauty Night Cream
- NDZ UV Whitening
- Snow Cream Norma
- Snow Cream Sensitif
- Dnars Nar Cream-Sensitif
- Ellfie Night Cream.
Berikutan pengesanan bahan beracun berjadual itu, notifikasi produk-produk kosmetik tersebut telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.
“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta merta.
“Mereka turut diingatkan penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Bagi syarikat yang melakukan empat kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya memetik Berita Harian.
Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan terlalu sensitif.
“Kesan daripada penggunaan hidrokuinon boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan dan penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan sensitif kepada cahaya matahari.
“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan raksa boleh memudaratkan kesihatan kerana raksa yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, “ katanya. – Kedahnews.com