Korea Utara Gagal Lancar Peluru Berpandu


SEOUL - Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesan percubaan Korea Utara untuk melancarkan sebuah peluru berpandu pada awal pagi Rabu selepas senjata itu dikatakan meletup sebaik-baik sahaja dilepaskan.

Jurucakap Pusat Perintah AS di Pasifik, Komander Dave Benham berkata, ujian pelancaran peluru berpandu itu tidak berjalan lancar dan pihaknya masih cuba mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung perkembangan tersebut.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap berkata, misil itu mungkin meletup selepas dilancarkan dan tidak mencapai ketinggi yang boleh dikesan oleh radar Korea Selatan.

Terdahulu, agensi berita Jepun, Kyodo melaporkan, Pyongyang mungkin melancarkan beberapa peluru berpandu ke kawasan timur perairan Jepun.

Jelas laporan itu, jenis peluru berpandu yang digunakan belum dapat dipastikan tetapi ujian berkenaan jelas gagal dilaksanakn oleh Korea Utara.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika wakil AS untuk program nuklear Korea Utara, Joseph Yun bertemu dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan di Seoul untuk membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi menangani isu program nuklear Pyongyang.

Sejak tahun lalu, Korea Utara telah menjalankan dua ujian nuklear dan beberapa siri ujian peluru berpandu, sekali gus mengingkari resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyekat negara komunis itu untuk berbuat demikian.

Tindakan Pyongyang itu dipercayai melibatkan pembangunan senjata nuklear yang mampu mencapai jarak sehingga ke AS.

Tiada kenyataan dikeluarkan oleh Pyongyang setakat ini berhubung kegagalan ujian peluru berpandu tersebut. - REUTERS