Korea Utara Juga Berhak Balas Tindakan Terhadap Malaysia - Mat Sabu


ALOR SETAR - Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu menegaskan bahawa Korea Utara juga mempunyai hak yang sama untuk melakukan sebarang tindak balas tentang hubungan diplomatiknya terhadap Malaysia.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menjelaskan, sekiranya Malaysia bertindak menghalau Duta Korea Utara dan mengisytiharkannya sebagai “persona non grata” maka secara tidak langsung mereka juga boleh melakukan perkara sama.

“Malaysia berhak untuk menghalau Duta Korea Utara dan menghisytiharan beliau “persona non grata”.

“Begitulah juga sebaliknya kepada Korea Utara yang berhak untuk menghalau Duta Malaysia dan mengisytiharkannya sebagai “persona non grata,” katanya.

Sementara itu, Mat Sabu turut mengingatkan kepada seluruh rakyat bahawa warga Korea Utara juga turut terkesan dan mempunyai nasib yang sama seperti warga Malaysia di negara itu ekoran krisis yang berlaku.

Tambahnya lagi, adalah lebih baik sekiranya perundingan secara tertutup diwujudkan dan Malaysia perlu mendapatkan pertolongan dari negara luar bagi menyelesaikan kemelut diplomatik tersebut. -Kedahnews.com