KTMB Tangani Isu Sistem Tiket Dalam Talian - Nawawi Ahmad


KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung aduan pengguna terhadap perkhidmatan syarikat berkenaan.

Pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad berkata tiga perkara utama dikenal pasti menjadi permasalahan kepada pelanggan perkhidmatan KTMB termasuk transaksi yang tidak berjaya tetapi dikenakan caj.

“(Kedua adalah) pemulangan wang yang lama (lambat) bagi transaksi yang tidak berjaya dan (ketiga adalah) kesukaran mengakses sistem tiket dalam talian KTMB yang tidak mesra pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pihak KTMB mencari jalan penyelesaian segera berhubung aduan pengguna mengenai perkhidmatannya.

Dalam catatan di laman Facebook rasmi beliau, Najib berkata antara komen dan maklum balas pengguna adalah mengenai Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan sistem pembelian tiket dalam talian.

Perdana menteri turut meminta SPAD supaya memantau dan melaporkan terus kepada beliau secepat mungkin.

Nawawi berkata KTMB telah menubuhkan unit khas bagi membincangkan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang untuk memastikan sistem pembelian tiket dalam talian dipantau secara terperinci.

Menurutnya rekod transaksi tiket dalam talian menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 90 peratus tahun lepas berbanding pada 2015 sehingga beberapa inisiatif diambil untuk memastikan perkhidmatan dalam talian itu terus berfungsi dengan baik.

“Antaranya dengan menambah satu talian internet khas e-tiket secepat mungkin, meningkatkan kapasiti kemudahan akses internet daripada 14mb kepada 30mb bermula Isnin lepas dan menaik taraf sistem infrastruktur dan pangkalan data bagi sistem tiket pada 10 Jan lepas,” katanya. – BERNAMA