Lapan Anggota Polis Didakwa Atas Pelbagai Tuduhan Rasuah


KUALA LUMPUR – Lapan anggota polis semalam mengaku tidak bersalah di tiga buah Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas pelbagai pertuduhan rasuah antara 2013 dan 2016.

Di hadapan Hakim Allaudeen Ismail, ASP Mohamad Zafrul Zulkifli, 37, dan Lans Koperal Mohamad Hasirun Abu Hassan, 29, didakwa telah meminta suapan wang tunai, masing-masing RM2,000 dan RM1,500 daripada Kyaw Phone Naing, warga Myanmar sebagai dorongan untuk melepaskan rakan senegaranya, Nang Cherry yang disyaki memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) palsu.

Lans Koperal Mohd Saffuan Mat Salleh, 31, dan Lans Koperal Sokongan Muhammad Huzzaini Esman, 29, didakwa memperoleh suapan wang tunai RM1,500 daripada orang sama bagi tujuan serupa.

Mereka yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis, Daerah Dang Wangi, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di tempat letak kereta di belakang sebuah hotel di Jalan Pudu di sini, antara 6 petang dan 7.30 malam pada 28 Jan 2016.

Bagi kesalahan meminta rasuah, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 manakala bagi kesalahan memperoleh rasuah, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Mohamad Zafrul dan Mohamad Hasirun yang diwakili peguam Hamidi Mohd Noh diikat jamin masing-masing RM15,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Mohd Saffuan dan Muhammad Huzzaini yang diwakili peguam Zainal Omar, diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Mahkamah turut memerintahkan Mohamad Zafrul menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 12 April untuk sebutan semula bagi kesemua kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di hadapan Hakim Madihah Harullah, Koperal Abd Rahim Yusak, 60, yang hadir di mahkamah dengan bertongkat dan Konstabel Mohd Hafis Hafizi Azhari, 26, didakwa bersama-sama meminta suapan wang tunai RM1,500 daripada Alif Faisal Amran.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk menyelesaikan saman trafik milik Alif Faisal atas kesalahan memandu dengan cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans serta tidak menahan Mohd Hariz Zaifan Mohd Zanua yang mempunyai rekod dalam Orang Yang Dikehendaki Polis.

Mereka yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) ASPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Hafis juga didakwa bersetuju terima suapan wang tunai RM500 daripada Alif Faisal bagi tujuan sama manakala Abd Rahim didakwa menerima wang tunai RM100 daripada Alif Faisal yang dia (Abd Rahim) ketahui Alif Faisal ada hubungan dengan kerja rasminya.

Mereka didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sekitar ibu negara antara 10 malam dan 2.10 pagi, antara 28 Sept dan 30 Sept 2013.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 17(A) ASPRM yang memperuntukkan hukuman sama dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan menetapkan 10 April untuk sebutan kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry.

Di hadapan Hakim Azura Alwi, Koperal Azuan Khalid, 49 dan Koperal Zulazri Idris, 37, daripada Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju didakwa telah secara rasuah bersetuju terima suapan wang RM1,500 daripada Mohd Shahrunizad Sahar, 30 sebagai dorongan untuk melepaskan tiga orang pekerja warganegara Indonesia yang tidak memiliki Pas Lawatan (Kerja Sementara).

Azuan dan Zulazri didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan orang kurang upaya, Seksyen 5, Jalan Wangsa Delima 11 di sini pada 9.20 pagi, 15 Dis 2015 mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009.

Sementara itu, Azuan turut didakwa atas dua pertuduhan iaitu telah secara rasuah meminta untuk dirinya suapan wang tunai RM3,000 dan memperoleh wang tunai RM500 daripada Mohd Shahrunizad sebagai dorongan untuk melepaskan tiga orang pekerja warganegara Indonesia yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu berdekatan Tol Plaza Batu, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), di sini pada 9 pagi, 15 Dis 2015 mengikut Seksyen 16(a)(B) ASPRM dan di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini pada 2.50 petang, 17 Dis 2015 mengikut Seksyen 17(a) ASPRM.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut jumlah lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM Abdul Rashid Sulaiman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, bagaimanapun peguam, Mohd Fahmi Mat Rodzi yang mewakili Azuan dan peguam, Mohd Norazihan Adnan yang mewakili Zulazri memohon jaminan terhadap anak guam mereka dikurangkan.

Hakim Azura Alwi membenarkan Azuan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Zulazri diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac untuk sebutan. – BERNAMA