Lebih Satu Pertiga Doktor Di Australia Enggan Bersara


SYDNEY – Para penyelidik pada Isnin mendedahkan satu pertiga doktor di Australia tidak berhasrat untuk berhenti mengamalkan amalan perubatan meskipun selepas mencapai umur persaraan 65 tahun, lapor agensi berita China Xinhua.

Kajian oleh Universiti Flinders, Universiti New South Wales dan Universiti Sydney itu membabitkan 1,048 doktor.

Hasil kajian mendapati faktor profesional dan psiko-sosial sama pentingnya dengan faktor umur justeru 38 peratus doktor akan meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan meskipun selepas umur persaraan.

Menurut kajian, keadaan itu mungkin berdasarkan alasan “menjadi doktor adalah sangat rapat dengan identiti diri sendiri” ia sekaligus menyukarkan pengamal perubatan meninggalkan terus kerjaya mereka.

Faktor lain yang menyumbang kepada doktor ingin terus bekerja termasuk masalah kewangan dan ketiadaan pengganti sesuai.

Para doktor juga merasakan adalah menjadi tanggungjawab untuk menunggu sehingga ada pengganti sesuai dan yang benar-bernar bersedia mengambil alih tugas mereka.

“Hasil kajian juga menyokong pandangan bahawa persaraan doktor mempunyai kaitan dengan keutamaan kerja adalah lebih penting berbanding kehidupan lain,” jelas kajian itu. – BERNAMA