BEIJING - Setiap minggu selama 14 tahun, Li Yinglai, seorang lelaki dari Kunming, China, menghiburkan pengunjung di Taman Tasik Hijau di bandar itu dengan berpakaian tradisional wanita sambil menari dan bergambar bersama pelancong.
Di sebalik perwatakan menghiburkan lelaki itu, sebenarnya dia berbuat demikian bukan untuk pengunjung tetapi demi menggembirakan hati ibunya.
Yinglai, 74 tahun, berkata, ibunya sering mengimpikan seorang anak perempuan tetapi hanya dikurnaikan dua anak lelaki.
Jelasnya, apabila mencecah usia 60 tahun, dia mengambil keputusan untuk menghiburkan hati ibunya dengan memakai pakaian cantik dan perhiasan sebelum menari di jalanan seolah-olah seperti seorang penari wanita.
Malah sejak itu, terus berbuat demikian setiap hujung minggu dengan harapan ibunya sentiasa gembira.
"Saya melakukannya demi ibu saya.
"Ibu saya tidak dikurniakan anak perempuan dan saya mahu dia gembira dengan perwatakan saya berpakaian perempuan.
"Saya gembira berpakaian sebegini dan membuatkan saya juga gembira," katanya.
Yinglai yang masih belum berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, menghabiskan sisa hidupnya untuk menjaga ibu tersayang.
Pada hari biasa, dia akan berpakaian seperti lelaki normal tetapi apabila tiba hujung minggu, Yinglai akan mewarnakan kukunya, memakai pakaian tradisonal, gelang, subang dan kaca mata.
Ibu Yinglai ketika ditanya tentang rutin mingguan anaknya itu, dia berkata, "Asalkan dia bahagia, jadi tidak ada masalah."
Sumber: mStar