Lepas Mat Sabu, Giliran Kit Siang Pula Ditolak Orang Kedah - MCA


ALOR SETAR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkemungkinan besar menjadi "mangsa" seterusnya selepas Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, ditolak orang Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Timbalan Pengerusi MCA Negeri Kedah, Datuk Dr. Leong Yong Kong berkata, pemimpin politik yang berhasrat menjadi wakil rakyat di negeri ini perlu menjadi "orang Kedah" terlebih dahulu sebelum diterima rakyat sebagai pemimpin mereka.

"Saya cuma mahu ingatkan Lim Kit Siang bahawa Orang Kedah terutama yang tinggal di Parlimen Alor Setar sudah serik mempunyai wakil rakyat yang "bukan" orang Kedah.

"Beliau boleh cuba nasib bertanding di Parlimen Alor Setar, tapi saya harap beliau tidak salahkan Suruhanjaya Pilihan Raya atau pengundi di sini sekiranya beliau tewas pada PRU ke-14 nanti.

"Presiden PAN, Mat Sabu yang bukan orang Kedah pernah tewas di Pendang  pada PRU ke-13, tidak mustahil jika PRU ke-14 nanti giliran Lim Kit Siang pula di Alor Setar," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Desas-desus politik Kedah mengatakan Kit Siang dijangka bertanding di Parlimen Alor Setar pada PRU ke-14 selepas veteran DAP itu menjelaskan kesediaannya untuk meninggalkan kerusi Gelang Patah yang dimenanginya pada PRU yang lalu.

Mengulas lanjut, Dr Leong menjelaskan bahawa MCA Kedah tiada sebarang masalah jika Kit Siang mahu bertanding di Parlimen Alor Setar, namun kegagalan penyandang kerusi berkenaan, Gooi Hsiao-Leung untuk menjadi "orang Kedah" telah memberi kesan negatif terhadap rakyat di kawasan tersebut.

"Lim Kit Siang boleh bertanding di mana saja yang dia suka termasuk du Parlimen Alor Setar. Tapi, beliau perlu tahu bahawa untuk menjadi wakil rakyat di Kedah, beliau perlu betul-betul jadi "orang Kedah". Dia perlu tinggal di sini, bercakap bahasa Kedah dan kenal budi pekerti orang Kedah.

"Jika hanya lahir di Kedah, tapi tidak betul-betul jadi Orang Kedah, pengundi di Kedah akan tolak. Contohnya, Ahli Parlimen Alor Setar yang tinggal di Pulau Pinang gagal menjadi wakil rakyat yang baik kerana tidak betul-betul menjadi orang Kedah.

"Malah, mungkin begitu juga  dengan Lim Kit Siang yang gagal menjadi Orang Gelang Patah, beliau gagal memahami dan memberi khidmat yang baik kepada rakyat di sana sehingga terpaksa 'lari' ke Kedah untuk survival politik beliau di negeri ini," ujarnya.

Selain itu, Adun Gurun itu juga mengingatkan rakyat bahawa sikap Kit Siang yang hanya pandai bersandiwara dan begitu licik berpolitik dengan menghasut rakyat dengan membudayakan sentimen kebencian di hati mereka.

Malah katanya, Penasihat DAP itu juga bijak mempermainkan perasaan rakyat, sama ada bangsa Melayu atau kaum Cina, dengan meniup api kemarahan dan tuduhan-tuduhan tanpa asas yang kukuh, selain melaga-lagakan antara kaum dengan menyentuh sensitiviti mereka.

"Kit Siang adalah pakar sandiwara. Beliau licik memainkan sentimen rakyat menerusi pelbagai sasaran politik berdasarkan strategik 'divide and fanning' sentimen bagi kumpulan-kumpulan sasaran yang berlainan.

"Contoh paling ketara dia lakukan terhadap masyrakat Cina dan India ialah dengan tak berhenti-henti menggunakan isu kononnya wujud kelemahan pelaksanaan agihan peruntukan SJKC, SJKT dan tempat beribadat bukan islam.

"Dia tiupkan sentimen anti-kerajaan dan cuba menonjol diri sebagai hero komuniti untuk raih sokongan bersifat sentimenal.

"Di kalangan orang Melayu yang termakan hasutan pembangkang dan kecewa dengan kerajaan pula dia gunakan isu-isu yang melibatkan syak-wasangka buruk seperti kononnya ada rasuah atau unsur penyelewengan berlaku di kalangan pemimpin atau pegawai agensi kerajaan.

"Diputarbelitkan isu harga barang naik untuk cetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

"Akhirnya, dia berjaya meraihkan sokongan golongan yang kecewa atau yang terpedaya itu, dan kemudian dia akan dianggap sebagai hero yang kononnya berani memperjuangkan suara tidak puas hati rakyat mereka.

"Itulah cara yang saya lihat Kit Siang lakukan untuk meraih kemenangan politik untuknya," jelas Exco Kerajaan Negeri itu.

Kit Siang sebelum ini dilihat berpindah-randah ke kerusi parlimen hampir setiap pilihan raya termasuk di negeri Melaka, bertanding di Selangor, kembali ke Melaka, bertanding di Pulau Pinang, kemudian bertanding di Perak sebelum menang di Gelang Patah, Johor.

Difahamkan beliau merupakan etnik Minnan yang berasal dari Zhangzhou, wilayah Fujian di Tanah Besar China, sebelum tiba di negara ini pada tahun 1957 dan kemudian mengasaskan DAP pada tahun 1966. - Kedahnews.com