"Lesen Terbang": JPJ Buat Laporan Polis Terhadap Lebih 10 Akaun Facebook


PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat laporan polis terhadap kewujudan lebih 10 akaun Facebook yang berani menawarkan ‘lesen terbang’ kepada orang ramai.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, laporan polis dibuat di balai polis Putrajaya pada Selasa berkaitan dengan sindiket pengeluaran lesen memandu tanpa melalui prosedur yang sah.

“JPJ telah membuat laporan polis terhadap lebih 10 akaun Facebook berhubung ‘lesen terbang’. “Kita juga sedang bekerjasama dengan pihak polis,” katanya kepada portal mStar Online pada Rabu

Beliau malah menambah, pihaknya turut mendapat kerjasama pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada Selasa, portal berita itu melaporkan mengenai sindiket khidmat yang menawarkan lesen memandu tanpa perlu menjalani ujian JPJ yang tersebar menerusi media sosial terutama Facebook.

Nadzri berkata, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 26 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika terdapat mana-mana pemandu memiliki lesen memandu yang tidak sah atau diperoleh secara haram.

Jika disabitkan kesalahan, kata beliau lagi, pemandu tersebut boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sebanyak 146 kes kesalahan memiliki lesen memandu yang palsu telah diambil tindakan antara 2015 sehingga 2016 lalu,” ujar Nadzri sebagai mengulas mengenai perkembangan lesen terbang itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada orang ramai agar berhati-hati supaya tidak ditipu dengan sindiket pengeluaran lesen memandu haram.

Sementara itu, JPJ dalam satu kenyataan berkata, permohonan lesen memandu hendaklah dibuat mengikut prosedur dengan hadiri kelas teori dan latihan praktikal yang ditetapkan di institut memandu yang bertauliah.

Selain itu, pemohon juga perlu menjalani penilaian kompetensi JPJ iaitu melalui ujian teori dan praktikal sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Nadzri berkata, lesen memandu yang dijual pada harga antara RM1,000 sehingga RM1,500 merupakan lesen palsu yang tidak akan disenaraikan dalam sistem JPJ. – Agensi