LIMA 2017 Saksikan Penyertaan Padu British


KUALA LUMPUR – Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 bakal menyaksikan penyertaan pelbagai syarikat penerju teknologi terkemuka British, dengan kerajaan United Kingdom terus mengukuhkan hubungan industri dengan Malaysia, terutama dalam sektor pertahanan dan keselamatan.

Menteri Perolehan Pertahanannya, Harriett Baldwin, akan mengetuai delegasi ke LIMA yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 25 Mac, 2017.

“Delegasi negara itu terdiri daripada Ketua Jabatan Pertahanan Perdagangan Antarabangsa dan Pertubuhan Keselamatan, Stephen Phipson; Pegawai Pemerintah Udara Kumpulan 1 Royal Air Force, Naib Marshal Udara, Gerry Mayhew; dan Laksamana Alex Burton, Komander Angkatan Maritim UK,” kata Jabatan Pertahanan Perdagangan Antarabangsa dan Pertubuhan Keselamatan UK dalam kenyataan semalam.

Baldwin dipetik sebagai berkata bahawa Britain akan terus mengukuhkan hubungan lamanya dalam bidang pertahanan dan keselamatan dengan Malaysia.

“Kami berminat untuk membantu menyelesaikan cabaran-cabaran keselamatan serantau menggunakan sokongan dan teknologi inovatif British,” katanya.

Sementara itu, Phipson percaya kerjasama dengan Malaysia sangat penting bagi mewujudkan peluang untuk syarikat Malaysia dan UK berkongsi teknologi pertahanan dan keselamatan, selain mewujudkan perkongsian usaha sama. – BERNAMA