LIMA'17: Alam Sekitar Kunci Penentu Kejayaan Industri Penerbangan


LANGKAWI – Kunci kejayaan sektor penerbangan bergantung kepada keupayaan bersama kalangan penggiat industri untuk memastikan kemapanan alam sekitar bidang itu selain aspek keselamatan dan jaminannya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pertumbuhan industri itu juga perlu seiring dengan kebertanggungjawaban serta berteraskan kepada dan untuk mempertingkatkan standard persekitaran dan kelestarian.

“Tumpuan terhadap aspek persekitaran itu melibatkan semua sektor, sama ada perkara utama seperti kawal selia, pembuatan, perkhidmatan, pengetahuan teknikal dan reka bentuk,” katanya pada perasmian Sidang Kemuncak Penerbangan ASEAN di sini, semalam.

Tegas Liow, kemapanan sektor penerbangan itu juga meliputi tiga teras utama pembangunan mapan yang perlu dicapai, pembangunan ekonomi dan sosial serta perlindungan alam sekitar.

“Sejak beberapa tahun lepas, kemapanan pembangunan alam sekitar kian menjadi elemen penting dalam kalangan peserta penerbangan ini,” katanya.

Menurutnya, penilaian impak sosioekonomi pengangkutan udara perlu dibuat berdasarkan tanggungjawab demi alam sekitar dan komitmen bagi kemajuan masa depan.

Malah, ia dijangka memberi impak ketara terhadap alam sekitar sejajar jangkaan peningkatan permintaan global terhadap pengangkutan udara serta industri penerbangan pada masa depan.

“Usaha menseimbangkan peningkatan permintaan dengan komponen kemapanan alam sekitar adalah sesuatu yang perlu diutamakan. Sektor penerbangan berteraskan (kepentingan) alam sekitar yang mapan bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan demi kejayaan masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, kata Liow, usaha mengenal pasti risiko alam sekitar yang utama seperti impak pelepasan karbon terhadap penerbangan dan pengurusannya secara berkesan menerusi teknologi, prosedur dan dasar, berperanan penting bagi kemampanan pertumbuhan industri berkenaan.

Sementara itu, sidang kemuncak sehari bertemakan ‘Global Sustainable Green Aviation’ (Kemapanan Penerbangan Hijau Global’ itu diadakan bersempena penganjuran acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 di sini.

Seminar itu berjaya menarik penyertaan pelbagai pihak termasuk wakil kerajaan, pihak pengawal selia industri, penerbangan serta penggiat lapangan terbang. – BERNAMA