LANGKAWI – Syarikat aeroangkasa dari British, BAE Systems Plc, memperbaharui perkongsiannya dengan syarikat menyelenggara, membaik dan membaik pulih (MRO) pesawat tempatan, Airod Sdn Bhd, bagi mempertingkat kumpulan pesawat Hawk MK208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pengarah Program Hawk BAE Systems Mike Swales berkata peningkatan sistem avionik itu adalah bagi melengkapkan Hawk dengan teknologi terkini dan memastikan pesawat itu memenuhi keperluan operasi pada masa hadapan.
“BAE Systems akan melaksanakan kerja mereka bentuk, mengeluar dan kerja-kerja pensijilan dengan Airod bertanggungjawab terhadap integrasi sistem ke dalam pesawat di bawah kontrak tiga tahun,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan pertukaran dokumen antara kedua-dua syarikat tersebut di sini semalam.
Swales menandatangani MoU tersebut bagi pihak BAE Systems manakala Airod diwakili oleh Pengarahnya Datuk Edron Hayata Ahmad.
“Perkara penting di sini ialah pemindahan teknologi ke Airod. Kami masih di peringkat perbincangan tentang nilai sebenar, oleh itu adalah tidak wajar untuk membincangkannya pada masa ini,” katanya.
Pengarah Urusan BAE Systems Malaysia John Brosnan berkata perkongsian yang diperbaharui itu akan mengukuhkan usaha kerjasama semenjak TUDM mula membeli pesawat Hawk.
“Airod dan Hawk sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain selama 25 tahun, dan dengan memperbaharui perkongsian akan memastikan kami dapat meningkatkan keupayaan pesawat dan memanjangkan jangka hayatnya bagi memberi nilai terbaik untuk pesawat TUDM,” tambahnya. – BERNAMA