LIMA'17: Laluan Sementara Ke Cenang Dibuka Elak Kesesakan - MB


LANGKAWI – Dua lorong jalan berkembar yang sedang dibina sebagai laluan alternatif ke Pantai Cenang akan dibuka sementara bagi mengelakkan kesesakan trafik semasa berlangsungnya Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA ’17) bermula 21 Mac ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata jalan baharu ini hanya akan dibuka kepada kenderaan ringan antara 8 pagi dan 12 malam sehingga berakhirnya pameran antarabangsa itu pada 25 Mac ini.

Jalan Pantai Cenang ini merupakan laluan terdekat antara dua tapak pameran LIMA ’17 ini iaitu Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World, Tanjung Malai.

“Kami hendak pastikan laluan di sepanjang kedua-dua tempat pameran ini tidak berlaku kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sendiri kawasan Pantai Cenang di sini.

Isu jalan berkenaan telah timbul sejak tahun lepas berikutan sikap pengguna jalan raya memarkir kenderaan di kedua-dua belah bahu jalan dan kelewatan penyiapan kerja-kerja menaik taraf jalan itu.

Ahmad Bashah berkata peraturan tidak membenarkan kenderaan diparkir di sebelah kiri jalan itu telah dimulakan 12 Mac lepas dan mana-mana kenderaan yang melanggar peraturan ini akan ditunda dan pemiliknya akan dikenakan kompaun.

“Selain itu pemilik kenderaan yang ditunda itu akan bertanggungjawab untuk membayar kos menunda sebelum mereka boleh mendapatkan kembali kenderaan mereka,” katanya.

Berhubung kelewatan kerja-kerja menaik taraf jalan itu, beliau berkata kontraktor itu kini sedang dalam tempoh kerja berdenda selepas gagal menyiapkan kerja itu pada tempoh kontrak yang ditetapkan.

Menurutnya kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan berbincang dengan kerajaan Persekutuan berhubung langkah seterusnya untuk memastikan projek berkenaan disiapkan.

“Apabila (projek ini) siap nanti, keseluruhan kawasan Pantai Cenang ini akan berubah menjadi lebih menarik lagi untuk pelancong,” katanya. – BERNAMA