ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah meminta supaya pihak yang mendakwa Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah kononnya menipu berkenaan projek litar lumba untuk anak muda supaya "menunggu saja" perkembangan projek tersebut.
Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM30 juta telah pun diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, dan majlis pecah tanah bagi projek berkenaan dijangka bakal berlangsung dalam tempoh terdekat ini.
"Dia tunggulah tengok sama ada tipu atau tidak...
"Perdana Menteri dah umum peruntukan RM30 juta. Kita jangka insyaAllah, dalam tempoh terdekat ini Perdana Menteri sendiri yang akan merasmikan majlis pecah tanah litar lumba itu," katanya berhubung litar yang merupakan sebahagian dari akujanji BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.
Ahmad Bashah diminta mengulas mengenai perkembangan litar lumba untuk anak muda di Kedah itu ketika melakukan menziarahi pesakit
tuberkulosis (TB) bersempena Hari Tuberkulosis Sedunia yang jatuh pada
24 Mac ini, di Hospital Besar Alor Setar (lama), di sini, petang tadi.
Sebelum ini, pihak tertentu yang difahamkan dari kem propaganda bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa kerajaan BN kononnya menipu anak muda di negeri ini mengenai pembinaan projek litar lumba tersebut.
Sebelum ini, pihak tertentu yang difahamkan dari kem propaganda bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa kerajaan BN kononnya menipu anak muda di negeri ini mengenai pembinaan projek litar lumba tersebut.
Menurut dakwaan mereka, Mukhriz ketika menjadi Menteri Besar mahu supaya litar berkenaan dibina bertaraf antarabangsa setaraf Litar Sepang yang dikendalikan SIC dan meminta bantuan peruntukan sebanyak RM70 juta dari kerajaan pusat bagi tujuan tersebut.
Namun katanya, Mukhriz membuat keputusan untuk menangguhkan projek berkenaan ekoran keputusan kerajaan pusat yang mahu Mukhriz menggunakan sebahagian pampasan yang diterima Kerajaan Negeri dari projek pembinaan hotel mewah, St Regis, di Langkawi.
Walau bagaimanapun, menurut sumber-sumber dalaman Kerajaan Negeri, difahamkan ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan Mukhriz untuk membina litar lumba bertaraf antarabangsa itu di Kedah ekoran ia bakal merugikan Kedah dalam tempoh jangka panjang.
Sumber berkenaan menjelaskan bahawa berkemungkinan Kerajaan Negeri mampu untuk mencari dana permulaan bagi membina litar lumba mega itu, namun dikhuatiri kos penyelenggaraan litar tersebut tidak dapat ditampung dari masa ke masa ekoran sifat litar lumba antarabangsa yang sentiasa memerlukan kos pembiayaan yang sangat tinggi.
Jelas sumber itu, Kedah merupakan antara negeri yang paling kurang pendapatan dengan mengharapkan kutipan cukai tanah yang rata-rata berstatus pertanian dan wang tersebut lebih realistik untuk digunakan bagi tujuan pembangunan negeri yang lebih memanfaatkan rakyat Kedah secara menyeluruh.
Difahamkan bahawa kerajaan negeri kini tetap akan menunaikan akujanji membina litar lumba berkenaan, namun lebih cenderung bersifat sederhana bagi dimanfaatkan oleh anak muda di negeri ini dan tidak hanya kepada golongan elitis seperti di Sepang.
Perdana Menteri dalam lawatan beliau ke Kedah bulan lalu mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan membina litar lumba di Sungai Petani tidak lama lagi. - Kedahnews.com