ALOR SETAR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa dirinya tidak kisah sekiranya PAS enggan lagi untuk berada sepentas dengan PPBM.
Menurutnya lagi, parti Islam tersebut juga berhak untuk membuat sebarang keputusan dan beliau menyerahkan segalanya kepada PAS selain tidak peduli jika parti tersebut sudah menutup pintu perbincangan dengan mereka.
"Kalau PAS nak (sepentas) tak apa, tetapi kalau dia tak nak pun saya tidak kisah," katanya.
Walau bagaimanapun, Mahathir menjelaskan bahawa pihaknya masih membuka pintu kerjasama dengan PAS sekiranya mereka sedia berpatah balik menyertai Pakatan Harapan yang turut dianggotai oleh DAP, PAN dan PKR.
"Pakatan Harapan sudah ada, kita sekarang bersetuju bersatu dengan menyertai pakatan supaya kita menjadi satu posisi yang sama.
"Kalau dia (PAS) tidak mahu, saya tidak boleh kata apa, bagaimanapun pintu kita terbuka, bukan sahaja PAS, mana-mana parti yang nak masuk pun boleh," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu, semalam.
PAS sebelum ini berkali-kali menegaskan pendiriannya untuk tidak sama sekali kembali bekerjasama dengan DAP dan PAN yang dikatakan menjerumuskan parti itu ke kancah kemelut dalaman yang akhirnya memecah-belahkan parti Islam tersebut.
Pakatan Harapan kini kuat dipengaruhi oleh DAP yang dilihat sebagai 'De Facto' bagi semua anggota gabungan parti politik pembangkang di dalam Pakatan Harapan.
Mahathir berkata demikian setelah diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar yang menjelaskan pintu rundingan PAS dan PPBM sudah tertutup apabila parti itu mengesahkan menyertai Pakatan Harapan. – Kedahnews.com