Mahfuz Beri Amaran PAS Jangan “Keras Kepala”


ALOR SETAR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Seri Mahfuz Omar memberi amaran kepada partinya sendiri, PAS, agar tidak terus bersikap “keras kepala” dan terus menyerang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Ujarnya, tindakan PAS yang terus menyerang dan menghentam Azmin walaupun parti Islam tersebut masih lagi berada dalam kerajaan Selangor disifatkan sebagai satu cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan sangat tidak wajar.

“Langkah PAS membiarkan pimpinan pertengahan PAS menyerang YAB Datuk Seri Mohd Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor dan PKR adalah sangat tidak wajar,

“Menyerang dan mengugut Azmin Ali dan PKR sudah dilihat rakyat yang PAS mahu menjatuhkan kerajaan rakyat. PAS sedang dilihat berperangai 'arrogant' (Keras Kepala). Rakyat melihat sikap PAS umpama "kalau tak dapat pada PAS sekali pun biar kerajaan rakyat ini dijatuh"," kata Mahfuz  melalui kenyataan media.

Menurutnya lagi, adalah lebih manis jika PAS mempamerkan sikap politik matang dan sejahtera serta mengadakan perbincangan bagi memperolehi kata sepakat demi meleraikan perbalahan.

“Adalah lebih manis andai politik matang dan sejahtera dizahirkan oleh pimpinan PAS dengan membuat kunjungan dan berbincang dengan Azmin Ali untuk meredakan keadaan dari berlarutan” katanya lagi.

Selain itu, Mahfuz turut mengecam tindakan PAS yang membidas Azmin dengan pelbagai kecaman dan ugutan hanya kerana sindiran Azmin yang menyebut perkataan “lebai”.

“Dalam konsep berpolitik sememangnya perdebatan terbuka tidak dapat dielakan,tetapi harus cermat dalam berkata-kata.Ungkapan Azmin Ali dengan perkataan 'Lebai' tidaklah perlu dibalas dengan ungkitan,ugutan dan kecaman terhadap beliau” tegasnya.

Terdahulu, Azmin mengeluarkan kenyataan menyindir kekalahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam pemilihan PAS Kawasan Pengkalan Chepa di Kelantan, pada 18 Mac lalu menerusi Twitter menulis “Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur”. – Kedahnews.com