Mahfuz Dijangka Tidak Akan Dicalonkan PAS Pada PRU ke-14


ALOR SETAR - Ekoran pelbagai kontroversi dan konflik yang berlaku di antara Datuk Mahfuz Omar dan PAS, dijangka bahawa Ahli Parlimen Pokok Sena itu tidak akan dicalonkan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang.

Sejak tercetusnya krisis pepecahan dalaman PAS kira-kira dua tahun yang lalu, ramai pemerhati politik melihat perubahan ketara yang berlaku terhadap pendirian Mahfuz terhadap PAS, khususnya selepas tertubuhnya Parti Amanah Negara (PAN).

Menurut sumber, Mahfuz difahamkan telah mengambil cuti panjang dari PAS, namun dilihat begitu akrab dan aktif berpolitik bersama PAN, DAP dan PKR yang membentuk gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Tindak tanduk politik Mahfuz semakin mencetus tanda tanya apabila tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menyaksikan Ahli Parlimen PAS itu semakin ligat bersama Pakatan Harapan dan pemimpin PPBM.

Selain itu, beliau turut dilihat menghadiri program-program anjuran PAN, PKR, DAP dan PPBM, namun dikatakan tidak menghadirkan diri ke program-program besar anjuran PAS, termasuk yang diadakan di negeri Kedah.

Lebih menghairankan ramai pihak, Mahfuz juga sanggup menghadirkan diri dalam Himpunan Bersih 5 yang dikuasai penganjurannya oleh Pakatan Harapan dan PPBM.

Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu turut dilapor telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak seiring dengan parti, khususnya pucuk pimpinan tertinggi seperti Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib-Naib Presiden dan Ketua Penerangan PAS.

Malah, boleh dikatakan Mahfuz begitu vokal dan sedia membidas mana-mana pemimpin PAS yang mengeluarkan kenyataan mengkritik Pakatan Harapan, khsusunya DAP dan PAN yang kini menjadi musuh utama politik parti Islam itu.

Tidak keluar dari PAS namun bersikap tidak seiring telah menyebabkan kepimpinan PAS menunjukkan jalan keluar kepada Mahfuz untuk meninggalkan parti dan menyertai parti lain.

Manakala yang terbaru, Pemangku Yang DiPertua PAS Kawasan Pokok Sena, Wan Romani Wan Salim mewakili akar umbi parti di kawasan yang Mahfuz wakili telah bertindak mengecam dan "menghalau" Mahfuz keluar parti dan menyertai parti lain.

Ekoran itu, ramai penganalisis dan pemerhati politik berpandangan bahawa kemungkinan besar Mahfuz tidak akan dipilih PAS sebagai calon parti itu pada PRU ke-14 nanti.

Sekiranya tidak dicalonkan PAS, Mahfuz dijangka akan bertanding atas tiket parti lain pada pilihan raya nanti dan beliau dijangka akan menggunakan hubungan baiknya dengan Pakatan Harapan sama ada bertanding atas tiket PAN atau PPBM.

Desas-desus mengatakan sekiranya Mahfuz tidak keluar dari parti, maka beliau bukan saja tidak akan dicalonkan PAS, maka berkemungkinan akan dipecat dari parti atas pelbagai tingkah lakunya yang lebih mirip kepada PAN. -Kedahnews.com