ALOR SETAR - Datuk Mahfuz Omar menyokong penuh tindakan segelintir guru yang lantang menentang Kerajaan Malaysia secara terbuka walaupun perlakuan tersebut melanggar etika dan disiplin yang diikrar kakitangan awam.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, tindakan melawan pihak kerajaan itu adalah cara tepat untuk meluahkan ketidakpuasan hati bagi golongan guru dan boleh menyebabkan sakit jiwa jika dipendam.
"Takkan nak biar guru-guru ini pendam perasaan? Kemudiannya menjadi satu tekanan perasaan dalam kehidupan mereka.
"Dasar yang dibuat kerajaan mereka tak boleh nak kritik dan luah di mana-mana, apa masalah? Jika begitu, adakah kerajaan boleh suruh guru yang kritik kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan untuk berhenti kerja?," katanya dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat, semalam.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini memberi amaran kepada guru-guru supaya tidak mengkritik kerajaan secara terbuka jika mereka memegang ideologi politik pembangkang di negara ini.
Jelas Mahdzir, tindakan tersebut adalah menyalahi etika dan disiplin penjawat awam serta boleh diambil tindakan, termasuk meminta surat tunjuk sebab atas perlakuan tersebut yang sepatutnya disalurkan mengikut saluran dalaman yang betul.
Difahamkan seramai 5 orang guru telah diambil tindakan dengan meminta surat tunjuk sebab kerana didapati melanggar etika penjawat awam melibatkan perlakuan memburuk-burukan kerajaan secara terbuka di khalayak umum. - Kedahnews.com