Mahfuz Terbukti Tidak Wakili Suara Akar Umbi - PAS


ALOR SETAR - PAS membidas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa dirinya bersuara mewakili akar umbi parti itu, namun sebaliknya dakwaan tersebut terbukti tidak benar bagai dikata.

Anggota Lanjah Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa akar umbi PAS di Pokok Sena telah pun bersuara menolak Mahfuz, sekaligus menandakan Ahli Parlimen Pokok Sena itu sama sekali tidak mewakili suara akar umbi parti tersebut.

"Beliau mendakwa konon bersuara mewakli akar umbi. Soalnya akar umbi yang mana?

"PAS Kawasan Pokok Sena sendiri sudah buat kenyataan menolak beliau," katanya, memetik laporan dari media rasmi PAS, Harakahdaily.

Kata Ahmad Amzad, ekoran dari sikap Mahfuz itu juga, bukan hanya akar umbi dari PAS Kawasan Pokok Sena sahaja, malah semua akar umbi PAS di seluruh negara terpaksa menahan geram terhadap bekas Pesuruhjaya PAS Kedah tersebut.

"Akar umbi PAS seluruh negara lagi-lagilah menahan geram ekoran tindak tanduk beliau," katanya lagi.

Mengulas mengenai pendirian Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang dikatakan cenderung menyebelahi Parti Amanah Negara (PAN), Ahmad Amzad senada mengesahkan tentang tingkah laku 'songsang' Mahfuz.

Tegasnya, Mahfuz kini dilihat bagaikan bukan lagi ahli PAS, malah lebih mirip kepada PAN ekoran pendiriannya yang dikatakan lebih gemar melaung-laungkan dakyah parti serpihan PAS yang diketuai oleh Mohamad Sabu itu.

"Mahfuz Omar antara yang tewas pemilihan pada ketika itu. Beliau ditolak akar umbi PAS.

"Kini masih ahli PAS tetapi membawa watak bagaikan bukan ahli PAS dengan membawa dakyah PAN," tegas beliau lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini senada memberi lampu hijau kepada Mahfuz supaya keluar meninggalkan PAS dengan segera.

Susulan dari itu, PAS Pokok Sena dalam satu sidang media yang diadakan baru-baru ini "menghalau' Mahfuz keluar dari parti ekoran tindak-tanduknya sebelum ini yang dikatakan tidak seiring dengan prinsip perjuangan parti.

Walau bagaimanapun, Mahfuz masih kekal bersama PAS, namun masih aktif menggunakan platform PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menghentam PAS atas pendirian parti Islam itu yang enggan bersekongkol dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP. - Kedahnews.com