Zambri (kiri) menunjukkan makam dipercayai milik Sultan Muhyiddin. |
JITRA - Misteri kubur lama bersebelahan kediaman penduduk di Kampung Chegar, Mukim Jeram, di sini, tanpa diketahui pemiliknya terjawab berdasarkan penemuan tulisan jawi ditemui pada batu nisannya pada awal Mac lepas.
Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusoff, kubur itu berkemungkinan milik Sultan Kedah ke-14, Sultan Muhyiddin Mansur Shah.
“Melalui usaha penduduk, mereka menemui tulisan jawi memaparkan nama beberapa sultan Kedah terdahulu di sekeliling tapak lantai batu nisan terbabit.
“Antara nama sultan Kedah terdahulu ditemukan ialah Sultan Al-Haq/Al-Magfur Muhyiddin, Sultan Rijaluddin Syah,Sultan Sulaiman Syah II, Sultan Mudzaffar Syah III dan Sultan Mahmud Syah II,” katanya.
Menurutnya, nama-nama sultan di batu nisan terbabit didapati seakan-akan sama dengan nama tercatat dalam buku karya Mohd Hassan Mohd Arshad Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah pada 1928.
Katanya, sekiranya terbukti benar, makam itu merupakan penemuan besar memandangkan masih terdapat makam sultan Kedah terdahulu belum ditemui.
“Setakat ini hanya dua makam ditemui iaitu Makam Sultan Rijaluddin yang mengasaskan Kota Naga dan terbaru Makam Sultan Muhyiddin di Kampung Chegar, Jeram dekat Tunjang,” katanya.
Beliau berkata, makam pemerintah Kota Siputeh iaitu Sultan Kedah ke-10, Sultan Mahmud Shah II, Sultan Mudzaffar Shah III dan Sultan Sulaiman Shah II belum dikesan.
Sultan Kedah ke-14, Sultan Muhyiddin Mansur Shah memerintah seketika di Kota Naga, sebelum baginda mengasaskan Kota Sena pada 1651-1661.
Wan Shamsuddin berkata, pihaknya menganggarkan makam itu berusia kira-kira 356 tahun.
Bagaimanapun katanya, pihak PSMCK akan meneruskan kaji selidik untuk mengenal pasti sama ada makam terbabit benar-benar milik Sultan Kedah ke-14 ataupun tidak.
Batu nisan patah, terbiar
Penulis buku Sejarah Jeram: Penemuan Makam Sultan Muhyiddin Mansur Shah Zambri Abd Wahab, 49, berkata, terdapat pelbagai jenis batu nisan Acheh di kawasan Mukim Jeram termasuklah di Kampung Chegar (5), Kampung Pulau Timbul (1), Kampung Gelong Rambai (8), Kampung Tok Nisan (3) dan Kota Buluh (2).
Bagaimanapun katanya, dia mendapati ada batu nisan Acheh dalam keadaan patah dan tercabut daripada kedudukan asal dalam beberapa siri lawatan dilakukan di sekitar makam itu.
Dalam usaha memulihara warisan itu, Zambri bersama rakannya Rusidi Che Omar, 49, menziarahi kawasan kompleks makam di Kampung Chegar itu pada 4 Mac lepas.
“Dalam tinjauan itu, kami terkejut apabila menemukan tulisan khat jawi di sekeliling tapak lantai batu nisan yang patah, sebelum membawa ia kepada guru dan ustaz berkemahiran dalam bahasa Arab dan jawi bagi mendapatkan penjelasan,” katanya.
Tambahnya, beberapa nama ditemui termasuklah Sultan Al-Haq/Al-Magfur Muhyiddin, Sultan Rijaluddin Syah, Sultan Sulaiman Syah II, Sultan Mudzaffar Syah III dan Sultan Mahmud Syah II pada tapak batu nisan.
Menurutnya, penemuan maklumat dalam At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Buku Undang-undang Kedah bahawa Almarhum Sultan Muhyiddin merupakan raja memerintah ketika itu, menguatkan bahawa kubur lama terbabit berkemungkinan milik Sultan Kedah ke-14.
Katanya, perkara terbabit perlu diberi perhatian kerana jikalau dapat disahkan, maka bermakna Sultan Muhyiddin adalah nenda Sultan Kedah sekarang daripada generasi ke-12.
Mohon pulihara makam
Sementara itu, Pengerusi JKKK Chegar, Yob Ramli berkata, penduduk tempatan berbangga dengan penemuan bersejarah itu.
Menurut Yob, pihaknya berharap makam berusia ratusan tahun itu dapat dipulihara.
Katanya, penduduk berharap pagar dapat dibina di sekeliling kawasan dan diletakkan kunci demi memastikan tinggalan sejarah berkenaan dapat dijaga.
Menurut Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri, dia sedang menunggu laporan penuh berkaitan makam lama terbabit.
Katanya, selepas itu pihaknya akan mengemukakan dokumen kepada Jabatan Warisan untuk mendapat kebenaran dan mempertimbangkan proses selanjutnya.
Sumber: Sinar Harian