Malaysia Dijangka Bebas Malaria Menjelang 2020


SERDANG – Malaysia dijangka mencapai status negara bebas wabak malaria pada 2020 berikutan usaha berterusan Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai langkah membendung penyakit itu.

Parasitologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Fong Mun Yik berkata antara usaha Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan status bebas malaria oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu melibatkan pemberian vaksin dan mengadakan pelbagai kempen kesedaran.

“Hasil insiatif bersifat proaktif ini kita dapat lihat berlakunya trend penurunan kes jangkitan wabak malaria di Malaysia secara konsisten sejak tahun 2001 hingga 2016.

“Kepantasan kementerian dan badan berkaitan dalam memberi tindak balas terhadap setiap laporan jangkitan malaria juga membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mencapai status ‘negara hijau’ iaitu bebas malaria,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel penceramah pada Seminar Persatuan Genetik Malaysia 2017 di Universiti Putra Malaysia di sini semalam.

Dr Fong berkata wabak malaria boleh dibahagikan kepada dua cara jangkitan iaitu daripada manusia kepada manusia dan daripada haiwan kepada manusia.

“Jangkitan menerusi manusia atau ‘urban malaria’ biasanya berlaku di kawasan bandar daripada bawaan golongan pekerja dan pelajar luar negara yang tidak mendapatkan perlindungan vaksin.

“Bawaan haiwan pula berlaku di kawasan luar bandar melalui kera dan monyet yang menjadi ‘perumah takungan’ atau pembawa penyakit ini, sebelum menjangkiti manusia berhampiran mereka menerusi gigitan nyamuk,” katanya.

Antara spesies yang merupakan pembawa wabak jangkitan malaria ialah kera ekor panjang, beruk dan Silverleaf monkey. – BERNAMA