KUALA LUMPUR – Malindo Air akan menjadi syarikat pertama menggunakan pesawat jenis Boeing 737 MAX dalam perkhidmatan penerbangan komersial.
Dalam satu kenyataan di sini, semalam, Malindo Air berkata pada masa ini syarikat itu menggunakan jet jenis Boeing 737 Next-Generation dan akan menerima sehingga empat unit Boeing 737 MAX, tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkongsi rasa bangga di atas kemampuan syarikat itu muncul sebagai penerbangan pertama di dunia menawarkan pesawat dilengkapi inovasi terbaharu.
“Pesawat ini akan membolehkan Malindo Air terbang ke destinasi lebih jauh pada jarak (memakan masa) sehingga tujuh setengah jam selain menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.
“Sejajar (kepentingan) sektor pelancongan antara penjana utama pendapatan negara ini, pesawat baharu itu turut berperanan penting dalam usaha penawaran harga tambang yang lebih rendah,” katanya. – BERNAMA