Mampukah Mahathir Kembali Jadi Perdana Menteri Untuk Kali Ke-2?


Kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencabar Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz untuk bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 mencetus spekulasi hangat di kalangan pemerhati politik.

Tidak hairan pada episod cabar-mencabar antara Tun Mahathir dan Nazri, namun cakap-cakap politik lebih tertumpu kepada kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang membayangkan beliau bakal bertanding di kerusi parlimen.

Polemik berkenaan berkisar tentang keupayaan beliau sama ada masih mampu menggalas tugas sebagai Ahli Parlimen di zaman politik serba mencabar ini ekoran usianya yang kini difahamkan lebih dari 91 tahun.

Rata-ratanya berpandangan bahawa Tun Mahathir masih mampu bertanding sebagai calon, namun khidmatnya sebagai Ahli Parlimen dikatakan sangat terbatas dan dijangka bakal terjejas ekoran faktor kesihatan yang mungkin merosot pada bila-bila masa sahaja.

Selain itu, wujud juga spekulasi yang mengaitkan kesediaan beliau untuk bertanding pada PRU ke-14 nanti hanyalah semata-mata kerana egonya yang terlalu tinggi dan enggan tewas dalam "peperangan politik"nya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dikenali sebagai seorang yang tidak pernah mengaku kalah dan sangat obses pada persepsi peribadi, beliau dikatakan sanggup mengenepikan faktor usia mahupun kesihatan bagi memastikan maruahnya tidak tercalar di mata rakyat.

Turut dikatakan juga bahawa Tun Mahathir akan menggunakan alasan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah yang ditabal menjadi Yang DiPertuan Agong sebanyak dua kali, dan beliau juga mahu dirinya menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali.

Spekulasi berkenaan adalah bersandarkan kepada sikap beliau yang sebelum ini terkenal mahu melakukan sesuatu yang dikagumi rakyat dan menjadi seorang ahli politik ulung yang menjadi pujaan rakyat.

Persoalan yang timbul, apakah Tun Mahathir mampu kembali menjadi Perdana Menteri semula pada usia menjangkau lebih 91 tahun, dalam keadaan kesihatan yang kurang baik dan terpaksa berdepan dengan saingan yang bukan calang pemimpin?

Sekiranya benar beliau akan bertanding di Langkawi, apakah beliau yakin dirinya akan menang dengan mudah? Apatah lagi penyandang jawatan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad menang dengan majoriti yang besar sebanyak 11,861 undi pada PRU yang lalu?

Sementara itu, juga difahamkan bahawa Langkawi boleh dikatakan bukan lagi menjadi kubu kuat Tun Mahathir selepas beliau mengkhianati UMNO yang mendokong beliau sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini.

Rakyat di Langkawi dikatakan turut menyimpan rasa terkilan yang amat sangat terhadap beliau ekoran banyak tanah-tanah strategik di pulau lagenda berkenaan yang "tergadai" kepada kelompok tertentu dari luar, khususnya taikun-taikun berbangsa Cina yang menjadi sahabatnya.

Majoriti anak tempatan di pulau pelancongan itu juga difahamkan kurang senang dengan "dosa-dosa silam" Tun Mahathir yang dilihat bukan saja memajukan Langkawi, namun sebenarnya lebih terarah kepada memberikan kekayaan tempatan kepada "kroni-kroni" beliau.

Walau bagaimanapun, perkisaran dan perdebatan politik berkenaan hanyalah merupakan spekulasi semasa politik negara lantaran keterujaan tentang ura-ura Tun Mahathir yang bagaikan mencalonkan diri sebagai calon di kerusi Parlimen Langkawi nanti.

Namun apa yang pasti, tiada laluan mudah bagi beliau untuk kembali menjadi Perdana Menteri semula ekoran kedudukan PPBM yang masih "mentah" berbanding DAP yang begitu gah memenangi banyak kerusi parlimen dan dikatakan lebih layak menyandang jawatan nombor satu negara itu jika Pakatan Harapan berjaya merampas kuasa di Putrajaya.

Spekulasi juga hangat menjangkakan DAP tidak akan melepaskan peluang untuk mengangkat salah seorang dari pemimpin mereka, khususnya Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, sebagai Perdana Menteri berdasarkan pengalaman sebagai Ketua Menteri selain pembabitannya dalam dunia politik yang lebih lama berbanding anak Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sekiranya Pakatan Harapan yang dikuasai pengaruh DAP menang pada PRU ke-14 nanti, dijangka Guan Eng bakal menjadi pemimpin politik berbangsa Cina pertama di negara ini untuk menjawat jawatan Perdana Menteri dalam sejarah. - Kedahnews.com