Masyarakat Masih Pandang Mudah Soal Keselamatan


KEMAMAN – Tahap kesedaran masyarakat dalam menjaga harta peribadi terutama kenderaan masih di tahap rendah.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim berkata sikap ambil mudah dan merasakan sesuatu lokasi itu selamat terutama di kawasan rumah menjadi faktor penyumbang jenayah curi berlaku.

“Apabila berada di kawasan rumah mereka mengambil mudah dengan tidak mengunci kenderaan dan tidak menggunakan kunci tambahan.

“Sikap sambil lewa seperti ini memberi peluang dan ruang kepada penjenayah…orang ramai perlu ingat jenayah tidak mengira tempat, waktu dan mangsa,” katanya kepada Bernama semalam.

Menurutnya dalam tempoh Januari hingga 24 Mac lalu sebanyak 69 kes kecurian harta benda direkodkan di daerah itu dan 44 kes melibatkan curi motosikal.

Mohd Said berkata walaupun jumlah itu tidak membimbangkan dan terkawal, langkah pencegahan perlu dilaksanakan serta memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Walaupun telah banyak program dilaksanakan, kesedaran mereka masih kurang dan polis juga mengharapkan kerjasama orang ramai bagi membasmi dan melaporkan kejadian jenayah di kawasan setempat.

“Orang ramai juga tidak boleh mengharapkan polis semata-mata bagi menangani kesemua kes jenayah,” katanya.

Menurut Mohd Said, bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya sering bekerjasama dan menganjurkan program kepolisan masyarakat dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran orang ramai. – BERNAMA