Mat Cop Dari England Jual Air Mineral Di Kuala Ketil


ALOR SETAR - Semenjak kematian datuknya pada Januari, Muhammad Yusuf Abdul Qarim, 26, atau dikenali sebagai  Mat Cop meneruskan kehidupan hanya dengan penjualan air mineral Key Seven yang diusahakannya sejak beberapa bulan lalu.

Mat Cop yang berasal dari England telah memeluk Islam dan tinggal di Kuala Ketil, Kedah semenjak enam bulan lalu bagaikan tiada hala tuju dan hidup diatas bantuan masyarakat kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kewangan yang tidak menentu hasil dari jualan air mineral tersebut.

"Selama tinggal di sini, adakalanya semangat diri hilang kerana begitu merindui keluarga. Tambahan pula datuk saya meninggal dunia Januari lalu.

"Dengan ketiadaan wang saya bukan sahaja tidak mampu membeli tiket penerbangan untuk ziarah keluarga di England, tetapi terpaksa meminjam wang untuk beli makan dan minum," katanya pada Sinar Harian.
Menurut penjaganya, Mohd Zukhi Ghazali, berharap orang ramai dapat memberikan sumbangan  dalam membantu Mat Cop menjalani kehidupan sebagai seorang saudara baru.

Mat Cop yang meminati selebriti  tanah air, Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan pernah beberapa kali diberikan kaunseling kerana mengalami tekanan hidup terutama semenjak kehilangan datuknya namun tidak mendatangkan hasil.

"Mat Cop tertekan selepas datuknya meninggal dunia, namun selepas mengenali Mat Dan di YouTube dia nampak sedikit ceria. Lebih dikesali apabila rakannya di England berjanji membantunya menaja tiket penerbangan pulang, tetapi akhirnya mendiamkan diri," katanya.

Mat Cop dikatakan begitu teruja mahu berjumpa dengan idolanya yang fasih bertutur dalam loghat Terengganu itu dan berharap dia dapat berkomunikasi loghat Kedah dengan baik seperti Mat Dan.

"Kebolehannya bercakap dalam loghat Terengganu membakar semangat saya untuk berkomunikasi dalam loghat Kedah dengan baik suatu hari nanti," ujarnya lagi.

Selain itu, Mat Cop berharap pertemuan dengan Mat Dan yang dikenalinya menerusi YouTube itu menjadi kenyataan.

"Pertemuan bersama Mat Dan diharap menjadi realiti kerana banyak perkara yang saya ingin tahu daripadanya. Mat Dan seorang lelaki England beragama Islam sama seperti saya, tetapi kejayaannya luar biasa.

"Mat Dan bukan sekadar artis, tetapi beliau adalah seorang muslim yang baik. Diharap niat bertemu dengannya menjadi realiti," ujar Mat Cop.

Tambahnya lagi, Mat Dan dijadikan aspirasi dan penyuntik semangat bagi dirinya untuk terus mendalami ilmu agama serta jika tidak keberatan dapat membantunya mengenal Islam dengan lebih baik. - Kedahnews.com