ALOR SETAR – Menunjukkan keprihatinan kepada rakyat, beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) dilaporkan hadir dalam sebuah himpunan upacara vigil yang bertempat di luar Plaza Masalam, Shah Alam, baru-baru ini.
Antara pemimpin PAN yang dilihat menyertai upacara tersebut adalah Presidennya, Mohamad Sabu, dan Naib Presiden, Datuk Mujahid Yusof Rawa.
Difahamkan bahawa penyertaan mereka di malam berkenaan adalah bagi mendoakan keselamatan Raymond Koh, seorang Pastor Kristian yang dikatakan telah menjadi mangsa culik sejak bulan lalu di Petaling Jaya.
Menurut Mujahid, beliau menyifatkan penculikan yang dilakukan terhadap Koh tersebut berkemungkinan besar mempunyai kaitan yang kuat dengan agama.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikram Malaysia Selangor Norazmi Mat Noh pula mempersoalkan mengenai sikap serta tindakan pihak berkuasa yang dianggap sebagai tidak proaktif.
“Sekiranya seorang imam yang diculik, saya rasa tindak balasnya lebih pantas daripada itu,” ujar Norazmi.
Dalam suasana himpunan yang pilu tersebut isteri kepada mangsa penculikan, Susanna Liew dalam keadaan sedih merayu-rayu agar penculik segera membebaskan mangsa.
“Tolong, tolonglah lepaskan dia. Dia seorang yang baik. Dia membantu orang miskin, golongan terpinggir dan mereka yang memerlukan,” katanya dengan nada yang penuh beremosi.
Mangsa yang berumur 62 tahun tersebut telah ditahan oleh beberapa lelaki bertopeng yang menaiki tiga kenderaan MPV di tepi Jalan SS4B/10, Kelana Jaya, kurang 100 meter dari kompleks perumahan polis sebelum dirinya diculik.-Kedahnews.com