MB Kelantan Harap Kerjasama Erat Dengan Kerajaan BN Pusat Kekal


ALOR SETAR - Datuk Ahmad Yakob berharap agar hubungan kerjasama yang telah sedia terjalin antara Kerajaan PAS Kelantan dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Pusat akan terus kekal dan erat.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selama ini telah banyak membantu dalam usaha untuk menaiktarafkan pembangunan di negeri tersebut.

Antara sumbangan terbesar yang pernah dihadiahkan oleh Perdana Menteri kepada negeri Cik Siti Wan Kembang itu adalah pembinaan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di Kota Bharu, Kelantan.

"Keprihatinan Perdana Menteri kepada rakyat Kelantan dengan adanya UTC ini akan dapat memudahkan urusan mereka berurusan dengan pelbagai agensi di bawah satu bumbung," katanya semalam, memetik laporan Utusan.

Ahmad bercakap demikian dalam satu majlis perasmian UTC Kelantan yang turut disempurnakan oleh Perdana Menteri.

Sementara itu, beliau yang mewakili seluruh rakyatnya berterima kasih di atas keprihatinan Perdana Menteri dan usaha beliau dalam mengeratkan hubungan bersama PAS Kelantan demi kesejahteraan rakyat.

Turut sama hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Selain itu, turut hadir di majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.-Kedahnews.com