Melayari Indahnya Langkawi Di Atas Sea Splash


LANGKAWI – Sebagai sebuah pusat pelancongan, keindahan semulajadi Langkawi bukan sahaja dapat dinikmati di sekitar pulau utamanya sahaja.

Kumpulan pulau kecil serta kawasan laut di sekitarnya juga dapat memberi satu kenangan percutian yang indah kepada pelancong.

Bagi menikmati keindahan pemandangan di pulau-pulau kecil dan laut ini, beberapa orang individu dan syarikat pelancongan telah memulakan aktiviti pelayaran santai di Langkawi.

Seorang daripada mereka ialah Datuk Seri Mohd Shukri Mohd Nadzir, seorang ahli perniagaan dan pemancing tegar yang pada mulanya tidak pernah terfikir untuk memulakan aktiviti pelayaran santai ini.

Beliau hanya memulakannya pada tahun 2015 selepas kira-kira lima tahun memiliki sebuah kapal sepanjang 20 meter yang dinamakan Sea Splash yang telah siap dibina pada tahun 2010.

“Bot ini telah dibawa ke Langkawi pada 2011 dan saya sering menggunakannya bersama-sama kawan-kawan untuk pergi memancing di laut dan ada kalanya saya sewakan kepada mereka yang berminat untuk belayar santai,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

SESUAI UNTUK PEMANCING TEGAR DAN BERSANTAI

Menaiki Sea Splash untuk kali pertamanya, pemancing-pemancing tegar pasti teruja melihat kelengkapan yang disediakan untuk memenuhi keperluan mereka di atas kapal ini khususnya semasa memancing di laut lepas.

Antaranya 12 unit stesen memancing yang digerak mengguna bateri berkuasa tinggi, sistem pengesanan sonar digital, sistem kedudukan global, petak simpanan untuk umpan hidup dan peti sejuk untuk menyimpan hasil tangkapan.

Dengan adanya kemudahan untuk menyimpan air bersih sehingga 1,400 liter dan sistem desalinasi air laut yang dapat memproses sehingga 800 liter sehari, Mohd
Shukri berkata kapal ini mencipta rekod tersendiri kerana pernah belayar sehingga ke Myanmar sebelum ini.

Berikutan ideanya untuk memulakan aktiviti pelayaran santai, beberapa pengubahsuaian telah dibuat ke atas kapal itu sejak tahun lepas untuk menambahkan lagi keselesaan pelancong.

“Melalui pengubahsuaian itu, kapal ini dapat menampung sehingga 30 penumpang dan bagi mereka yang berhasrat untuk belayar lebih semalam, kami menyediakan bilik penginapan untuk 12 orang pada satu-satu masa,” katanya.

KEMUDAHAN UNTUK KESELESAAN PELANCONG

Kemudahan lain termasuk sebuah bilik rehat yang direka bentuk seperti ruang tamu kediaman yang lengkap dengan televisyen skrin rata dan sistem hiburan elektronik.

Bahagian dek belakang kapal pula disediakan ruang untuk barbeku bagi membolehkan pelancong untuk menikmati pelbagai masakan panggang tempatan yang disediakan oleh juru masak berpengalaman dalam suasana laut yang indah.

Platform untuk pelancong berenang di laut atau menjalankan aktiviti snorkeling turut disediakan.

Pakej-pakej yang disediakan meliputi pelayaran santai selama empat jam ke atas dan ini termasuk pelayaran untuk menikmati pemandangan pulau utama Langkawi dari laut, pelayaran senja dan menikmati pemandangan sewaktu matahari terbenam ( dan pelayaran ke pulau-pulau berdekatan.

“Pelayaran ke destinasi lebih jauh seperti ke Koh Lipe di Thailand juga disediakan melalui sewa khas,” katanya.

PENERAPAN KONSEP PELANCONGAN ISLAMIK

Selepas setahun menjalankan aktiviti ini, Mohd Shukri berkata pakej-pakej yang disediakan telah mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pelancong dari pelbagai negara.

Ini termasuk dari negara-negara Eropah, negara-negara Arab dan China selain pelancong-pelancong domestik.

Mohd Shukri berkata konsep pelancongan Islamik akan diperluaskan lagi dalam operasi mereka bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara-negara Arab.

Beliau turut bercadang untuk memperoleh sebuah bot yang lebih kecil lagi sebagai tambahan kepada kapal yang sedia ada untuk memulakan pakej-pakej pelayaran pada harga yang lebih rendah.

“Saya sentiasa memikirkan konsep yang berlainan sedikit untuk menarik pelancong bukan dengan cara bersaing tetapi untuk melengkapkan lagi aktiviti yang ada di Langkawi,” katanya. – BERNAMA