"Mereka Mahu Malaysia Jadi Seperti Negara Barat," - PAS


KUALA LUMPUR – “Golongan ini bukan sahaja tidak mahu syariat Islam, malah pengawalan moral pun mereka tidak mahu.”

Itu pandangan pemimpin PAS, Idris Ahmad ke atas peguam dan aktivis pro-Pakatan Harapan, Siti Kassim serta pertubuhan Hindu Rights Action Force (Hindraf).

Kata beliau, permintaan Siti Kassim dan Hindraf kepada pihak mahkamah supaya pendakwah Islam terkemuka, Dr. Zakir Naik ditangkap dan diusir dari Malaysia sangat tidak bertamadun.

“Mereka mahu Malaysia seperti negara barat. Mungkin golongan ini pening lalat tidak sedar bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung ialah Malaysia.

“Paling malang tindakan golongan ini merugikan parti politik dan individu yang sewaktu dengannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Parti politik dan individu yang maksudkan dipercayai Pakatan Harapan dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Umum sedia maklum Siti Kassim merupakan seorang aktivitis pro-Pakatan Harapan kerana sering `memperjuangkan’ isu-isu yang dibangkitkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kelmarin, Siti Kassim dan Hindraf memfailkan tuntutan mahkamah meminta pihak berkuasa menangkap dan mengusir Dr. Zakir daripada Malaysia serta membatalkan statusnya sebagai seorang pemastautin tetap negara ini.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa Dr. Zakir adalah ancaman kepada keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara ini dan menyaman kerajaan Malaysia.

Dalam dokumen mahkamah itu, mereka mendakwa kononnya Dr. Zakir menggalakkan keganasan dan akan merosakkan perpaduan berbilang kaum dan keamanan di Malaysia.

Kehadiran Dr. Zakir berdakwah di Malaysia mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan pemimpin dan aktivis Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN).

Malah, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof. Dr. P.Ramasamy merangkap Timbalan Setiausaha Agung DAP pernah dikecam umat Islam kerana menggelar pendakwah Islam terkenal itu sebagai setan.

Dr. Zakir merupakan seorang pendakwah Islam tersohor di dunia dan pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1435H/2013M daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada tahun 2013.

Dalam kebanyakan siri dakwahnya di seluruh negara menyaksikan bukan Muslim yang mengikuti ceramahnya mengambil keputusan memeluk agama Islam selepas berhujah tentang isu agama dengan beliau.

“Apa dosa dan salah Dr. Zakir? sehingga hendak bertindak kasar sebegitu rupa. Datangkan hujah yang bernas untuk lawan fakta Dr Zakir. Sebenarnya golongan ini sudah menjadi melukut di tepi gantang.

“Mereka hanya hidup dengan media yang mempunyai agenda seperti mereka. Tindakan mereka bukan sahaja dibenci oleh orang Islam, malahan orang bukan Islam yang bersopan dan bermoral,” kata Idris lagi.

Beliau seterusnya meningatkan supaya semua pihak supaya menjaga hati umat Islam yang merupakan majoriti di Malaysia.

Kata beliau, Inggeris sewaktu menjajah negara ini juga terpaksa meletakkan soal agama di bawah Sultan kerana menyedari umat Islam begitu sensitif tentang agama

“Walaupun sikap dan tingkah laku, pakaian, pergaulan tidak menggambarkan Islam, namun tetap sensitif dengan Islam. Mereka akan pertahankan Islam dengan apa cara sekali pun,” katanya. –Kedahnews.com