Mohd Najib Lancar Ekspedisi KE7B Ke Kutub Utara April Ini


PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Kutub Utara 2017 di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Presiden KE7B Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 35 dan dua anggota KE7B, Shahrom Abdullah, 38, dan Muhammad Irwan Yusuf, 37, akan memulakan ekspedisi itu pada 4 April dalam usaha mengharumkan nama negara di persada dunia.

Berucap pada majlis pelancaran itu, Najib mahu rakyat Malaysia mencabar diri dengan meletakkan sasaran yang tinggi untuk meraih satu pencapaian dengan kekuatan serta semangat tidak mahu menyerah kalah.

“Kita perlu meletakkan sesuatu tugas yang dilakukan dengan baik serta perlu mengalas serta berjuang sehingga amanah dan tugas yang diberikan kepada kita dicapai dengan jayanya.

“Kita mesti berpegang kepada kata-kata – tidak berundur, tidak menyerah kalah,” katanya bagi meniupkan semangat tiga ikon sukan lasak itu. Hadir sama Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusuf.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga meniup semangat kepada kumpulan ekspedisi itu agar sentiasa cekal dan mengingatkan bahawa seluruh rakyat Malaysia ada bersama mereka dengan iringan doa, restu dan sokongan moral agar ekpedisi tersebut berjaya.

“Saya tahu bukan mudah untuk menjelajah Last Degree Ski sejauh 111 kilometer dengan cuaca sejuk yang ekstrem dengan suhu boleh mencecah negatif 50 Celsius. Itulah sebab saya kagum dengan daya juang yang ditunjukkan saudara semua.

“Mudah-mudahan ekspedisi ini akan menjadi rangsangan terutama kepada orang muda bahawa dalam hidup ini, kita perlu menghadapi pelbagai cabaran,” katanya.

Perdana Menteri juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada kumpulan itu dan berdoa agar mereka kembali dengan selamat serta mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Muhammad Muqharabbin berkata ketiga-tiga mereka sudah bersedia menakluki Kutub Utara dan akan berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April dan akan berpangkalan di Longyearbyen, Pulau Svalbard selama seminggu untuk menjalani proses penyesuaian diri serta persiapan akhir kelengkapan.

Katanya, mereka bertiga telah menjalani beberapa siri latihan fizikal di Jepun, Amerika Syarikat dan sekitar Malaysia, dan dijangka memulakan ekspedisi pada 13 April.

Beliau berkata mereka akan berdepan dengan cabaran keupayaan diri mereka sendiri untuk berski sambil menarik kereta luncur salji sepanjang ekspedisi itu yang mengandungi barang-barang keperluan seperti peralatan khemah, bekalan makanan, dan pelbagai peralatan yang dianggarkan seberat 70 kilogram.

“Di Jepun, kita telah menjalani latihan penyesuaian diri penjelajah yang merentasi Kutub Utara serta penyesuaian cuaca sejuk bersalji yang dijalankan pada Januari lalu.

“Kita juga telah menjalani latihan fizikal membabitkan aktiviti berjalan kaki sambil menarik beban berupa tayar kenderaan yang diletakkan bebanan seberat 50 kilogram,” katanya, sambil menambah ekspedisi itu akan meliputi perjalanan sejauh 20 hingga 30 km sehari.

Beliau menerangkan terdapat perbezaan dari segi bentuk permukaan antara Kutub Utara dan Selatan, dan ia menjadi cabaran buat pasukannya untuk menjayakan ekspedisi berkenaan.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu menjadi ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B 7 Puncak 7 Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi Jelajah KE7B Felda Greenland dengan ski 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016. – BERNAMA