MUAFAKAT Kunci Utama Untuk UMNO Kedah Teruskan Khidmat Bakti


ALOR SETAR - Setiap ahli parti yang berjiwa UMNO diajak untuk sama-sama merapatkan saf dan mengamalkan konsep muafakat bagi memastikan negeri Kedah tidak lagi mengalami detik hitam apabila tewas Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2008 yang lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, apa yang berlaku pada PRU ke-12 yang lalu adalah disebabkan sikap kurang bermuafakat sehingga menyaksikan ramai di kalangan ahli parti yang tidak keluar mengundi dan memandang remeh tentang cabaran politik di zaman ini.

Namun begitu kata Menteri Besar itu, mengambil iktibar dari apa yang berlaku, beliau dengan kerjasama seluruh kepimpinan UMNO di negeri itu kembali bermuafakat dan bekerjasama memperbaiki keadaan dan akhirnya ditakdirkan Allah untuk kembali mengemudi negeri Kedah sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa.

"Saya mengajak semua ahli-ahli parti tidak mengira peringkat kita harus berada dalam suasana yang saya sebut sebagai muafakat, bermuafakat di kalangan ahli-ahli parti di segenap lapisan, terutama sekali pemimpin-pemimpin yang ada di atas (kepimpinan UMNO Bahagian).

"Kalau kita tak mampu untuk bermuafakat dan bekerjasama, percayalah bahawa.. saya bimbang, na'uzbillah (tewas). Tetapi ini pengalaman yang berlaku di dalam pilihan raya 2008," tegas beliau ketika berucap di depan lebih 5,000 kepimpinan dan akar umbi UMNO negeri, di sini, semalam.

Menang sebanyak 10 kerusi Parlimen dan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRU ke-13 yang lalu, Ahmad Bashah yakin bahawa BN sebenarnya mampu untuk mencatat kemenangan yang lebih baik dari pilihan raya yang berlangsung pada 2013 lalu.

"Kita boleh..lebih dari 70 tahun UMNO ditubuhkan, kita mampu. Awat ingat kita koman sangat? Awat ingat kita lekeh sangat kaa..?

"Tetapi semangat ini kita perlu tanam dalam diri. Walau apa saja cabaran di depan kita, kita mesti hadapi. Kita hadapi bersama seluruh ahli-ahli parti yang ada di seluruh negeri Kedah," katanya disusuli dengan sorakan semangat dan tepukan gemuruh dari ahli parti yang hadir.

Kata Ahmad Bashah, semua pemimpin dan warga UMNO seharusnya berkerja keras untuk lebih mendekatkan diri dengan rakyat agar mereka tidak termakan hasutan pihak tertentu yang menyebarkan dakyah tidak benar mengenai kerajaan BN.

Rakyat di negeri Kedah perlu diberi pendedahan tentang hal sebenar yang berlaku, diambil peduli, diberi jaminan dan dibantu untuk menyelesaikan masalah-masalah setempat yang mereka hadapi.

Peranan mendekati dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat selama ini telah dibuktikan UMNO sejak zaman berzaman dan Menteri Besar itu yang bahawa rakyat yang bijak akan terus memberi mandat kepada BN yang selama ini amat diyakini oleh segenap lapisan masyarakat.

"Rakyat tahu.. Saya yakin rakyat Kedah sangat bijak memilih parti yang mereka yakini. Mereka amat yakin pada UMNO sebelum ini dan kita harus teruskan memberi khidmat kepada mereka.

"Tapi kalau kita tidak bersama dengan rakyat, orang lain akan memenuhi ruang-ruang tersebut," katanya mengingatkan tentang dakyah-dakyah pihak berkenaan yang sering mencetus kebencian rakyat kepada UMNO dan BN dengan cerita rekaan yang tidak berasaskan kebenaran.

Ahmad Bashah semalam merasmikan Majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan seluruh negeri Kedah 2017, di Alor Biak, di sini, semalam.

Turut hadir di majlis berkenaan adalah Ketua Penerangan UMNO Pusat, Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kepimpinan UMNO Negeri, Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh negeri Kedah. - Kedahnews.com