Mufti Wilayah Beri Peringatan Kepada Malaysiakini, FMT


MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegur dua buah portal pro pembangkang ekoran mengeluarkan tajuk berita yang jelas mengelirukan pembaca.

Beliau berkata, kedua-dua portal tersebut ialah Malaysiakini dan Free Malaysia Today.

Menurutnya, fatwa terbaharu yang dikeluarkan pejabat mufti telah dikelirukan dua portal berita tersebut dengan menggunakan tajuk kontroversi ‘Pejabat Mufti: Jangan Khalwat Dalam Teksi, Uber dan Grabcar.’

Tegasnya, jika pembaca hanya melihat tajuk tanpa membaca kandungan, pembaca jelas akan menafsirkan bahawa mufti melarang perbuatan khalwat dalam teksi, Uber, serta GrabCar.

Selain itu katanya, ia juga memberi sentimen negatif kepada institusi fatwa yang sering dikaitkan dengan hal-hal yang negatif walaupun ia adalah sebaliknya.

Teguran yang dibuat melalui media sosial Facebook peribadinya itu juga menjelaskan persepsi buruk akan berlaku dengan tajuk yang seakan sekadar mengejar visitor hits seperti itu yang akan membawa kepada perasaan tidak senang pembaca Muslim dan Non Muslim dengan isu dihuraikan.

“Ini juga mengundang komentar negatif yang boleh mencemarkan kredibiliti dan pendirian pejabat​ mufti yang konsisten membawa gagasan keterbukaan yang berlandaskan syarak serta keharmonian antara kaum dan agama.

“Sebagai contoh yang berkaitan, isu Uber dan UberEATS yang mana secara jelas Mufti Wilayah Persekutuan memberikan solusi yang meleraikan kekeliruan pemandu Uber dan UberEATS Muslim, tidak pula dijadikan laporan oleh Malaysiakini dan Free Malaysia Today,” demikian teguran dibuat melalui sumber sama.

Sehubungan itu, pejabat mufti Wilayah Persekutuan menyeru kepada Malaysiakini dan FMT untuk lebih berhati-hati dalam memberikan laporan.

Hal demikian katanya kerana kebanyakan laporan-laporan yang diterbitkan kedua-dua dua portal tersebut berkenaan pejabat ufti Wilayah Persekutuan sebelum ini tidak mencerminkan sikap media yang jujur dalam melaporkan sesuatu isu. –Kedahnews.com