Muhyiddin Dedah Masalah Kerusi, Kepimpinan Dalam Pakatan Harapan


ALOR SETAR - Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa parti-parti di dalam Pakatan Harapan menghadapi masalah pertindihan kerusi dan kepimpinan yang serius.

Kata beliau, semua kepimpinan gabungan parti pembangkang itu perlu lebih ikhlas bersatu untuk menyelesaikan masalah tersebut demi kebaikan bersama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"Pemimpin Pakatan Harapan mengakui persepsi bahawa kita perlu lebih bersatu.

"Pakatan ini akan membolehkan kami membincangkan isu seperti kepimpinan dan pembahagian kerusi secara bebas dan ikhlas.

“Lebih cepat kita selesaikan ini, maka ia akan menjadi lebih baik untuk Pakatan Harapan," katanya.

Berhubung masalah pertindihan kerusi, Muhyiddin menjelaskan bahawa isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan sebelum ini, namun masih gagal mencapai kata sepakat.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut membayangkan partinya seolah-olah dinafikan kerusi majoriti Melayu yang mungkin melibatkan pertikaian calon yang dilihat mampu menang di kawasan berkenaan.

"Pada mesyuarat semalam (Isnin lalu), kita membincangkan pembahagian kerusi dan kita melahirkan harapan bahawa PPBM diberikan pengiktirafan, dengan peranan kami untuk menarik sokongan lebih besar di kalangan pengundi Melayu yang beragama Islam.

"Kami difahamkan terdapat beberapa pertindihan kerusi buat masa ini... tetapi isu paling penting adalah ‘winability’ - pihak yang boleh menarik sokongan paling banyak dan menang perlu diberi pertimbangan sewajarnya," katanya.

Mengenai isu kepimpinan pula, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menggesa supaya kepimpinan Pakatan Harapan lebih cepat membuat keputusan mengenai calon Perdana Menteri dan Timbalannya jika berjaya menawan Putrajaya pada PRU ke-14 nanti.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PPBM di Petaling Jaya, sehari selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi tersebut. – Kedahnews.com