ALOR SETAR - Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi menasihati Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agar tidak masuk bakul angkat diri sendiri, bersikap angkuh dan sombong hanya kerana agenda politik.
"Janganlah menabur fitnah, bersifat angkuh dan sombong akibat cita-cita politik yang tidak kesampaian, kita boleh berlainan pendapat tetapi biarlah berpolitik secara matang dan progresif yang akhirnya memberi khidmat dan mendatangkan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Menurut Ab Aziz, Muhyiddin tidak perlu berasa bangga dan menafikan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sehingga sanggup menyampaikan warkah terbuka, jelasnya tindakan tersebut seperti tidak mengendahkan teguran Sultan Iskandar dan mencabar pihak istana.
Tambah beliau, tindakan seperti mengimbau kembali jasa-jasanya ketika masih berada dalam UMNO jelas menunjukkan bahawa Muhyiddin cuba untuk menghapuskan dosa-dosa yang dilakukannya kini.
“Dia (Muhyiddin) tidak perlu menjelaskan jasa-jasa yang telah dilakukannya sewaktu berkhidmat dahulu kerana khidmat bakti tersebut adalah ketika beliau bernaung di bawah panji UMNO/BN.
“Kelihatan seperti dia cuba menyembunyikan dosa-dosa lampau dengan menyatakan jasa-jasa yang telah dilakukannya,” katanya.
Selain itu, Ab Aziz turut mempertikaikan kebolehan sebenar yang dimiliki Muhyiddin dab beberapa kegagalannya ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Menteri Besar Johor suatu ketika dahulu.
“Saya ingin menyingkap sedikit tentang kegagalan Muhyiddin seperti menguruskan Amanah Saham Johor (ASJ) sehinggakan masih terdapat ramai yang menanggung hutang akibat melakukan pinjaman untuk membeli saham tersebut.
“Begitu juga dengan keputusan Muhyiddin untuk menukarkan hari cuti negeri Johor daripada hari Jumaat kepada hari Ahad sehingga mendapat bantahan yang luar biasa dari rakyat Johor termasuk dari pihak Istana, setelah 22 tahun barulah dapat dikembalikan semula,” katanya lagi.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim bertitah mengenai kegagalan dua Menteri Besar Johor sebelum ini yang gagal untuk menguruskan negeri itu dengan baik.-Kedahnews.com