Mukhriz Diminta Tidak Merapu, Jangan Pusing Cerita


ALOR SETAR - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir diminta supaya berhenti "merapu" dan mengeluarkan kenyataan putar belit yang mengelirukan dari perkara sebenar kepada orang ramai.

Bekas Pegawai Khasnya, Haris Che Mat meluahkan rasa hairan apabila Mukhriz keluarkan kenyataan mendesak beliau membuktikan bahawa dirinya memiliki kekayaan sebanyak RM1 bilion, sedangkan intipati perdebatan adalah mengenai isu berlainan.

"Jelas saya katakan pada 23 Mac lalu bahawa perdebatan itu mengenai kekayaan anak-anak Mahathir yang mencecah bilion ringgit dan bukannya beliau seorang saja. Jadi, tolong jangan pusing cerita.

"Selain itu dia juga merapu apabila minta saya terangkan mengenai Riza Aziz sedangkan saya bercakap mengenai kekayaan adik beradiknya. Kalau dah jauh sangat merapu dan terpesong, memang saya tak layanlah," katanya dalam kenyataan tersebut, baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga turut mengingatkan Mukhriz supaya tidak mereka-reka cerita dan mendakwa konon dirinya berdepan dengan penyakit "misteri" dan sengaja mengelak daripada berdebat dengan Menteri Besar itu.

"Saya kesal Mukhriz mengeluarkan kenyataan kononnya saya mempunyai penyakit 'misteri' yang muncul secara tiba-tiba, sedangkan doktor mengesahkan bahawa saya menghidapi penyakit batu karang.

"Perlu diingat bahawa saya yang membuat cabaran kepada Mukhriz dan bukan sebaliknya. Kalau takut, tidak mungkin saya akan melemparkan cabaran begitu,’’ katanya lagi.

Menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena itu, dia telah menjalani pembedahan mengeluarkan batu karang di sebelah kiri dan mendapatkan rawatan pada 15 dan 16 Januari yang lalu.

Namun jelasnya, penyakit sama berulang kembali pada 25 Mac yang lalu akibat daripada terdapat batu karang di sebelah kanan pula.

"Setakat ini, saya masih mengambil ubat dan kalau perlu, mungkin akan menjalani pembedahan buat kali kedua.

"Terasa sangat sakitnya dan disebabkan itu saya mahu memastikan agar penyakit ini benar-benar pulih sebelum menetapkan kembali tarikh untuk kami berdebat" ujarnya. - Kedahnews.com