Mutu Permainan T-Team Perlu Ditingkatkan - Rahmad Darwaman


KUALA TERENGGANU – Pasukan T-Team masih perlu memperbaiki mutu permainan meskipun terdapat peningkatan prestasi berbanding aksi sebelum ini, kata ketua jurulatih Rahmad Darwaman.

Beliau berkata pada perlawanan kelmarin, aksi ditampilkan pemain menunjukkan peningkatan dan kesemua posisi dapat berfungsi dengan baik, namun nasib kurang menyebelahi mereka untuk menjaringkan gol walaupun mempunyai beberapa peluang.

“Dari segi motivasi, kerjasama dan kombinasi yang ditunjukkan semuanya menunjukkan perkembangan positif.

“Jadi pemain perlu mengekalkan fokus dan momentum untuk setiap perlawanan selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang pasukan Felda United, di sini, malam semalam.

Pada perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi satu mata selepas seri tanpa jaringan.

Rahmad berkata pada perlawanan itu walaupun anak buahnya cuba memberi tekanan terhadap pasukan pelawat yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain, gawang pasukan Felda United masih gagal dibolosi.

Justeru, katanya pemain perlu bijak menghidu peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan akan datang. – BERNAMA