Naib Presiden PAS Nafi Terlibat Kes Tipu Syarikat Jualan Langsung


ALOR SETAR - Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menafikan tuduhan bahawa dirinya terlibat dalam penipuan yang membabitkan syarikat jualan langsung membungkus makanan.

Beliau menegaskan bahawa kehadirannya dalam majlis syarikat itu sekadar memenuhi jemputan dan bagi merasmikan  bangunan pejabat syarikat tersebut, serta menyampaikan cek kepada ahli mereka yang berjaya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu turut menasihatkan sesiapa yang menjadi mangsa kepada penipuan syarikat tersebut supaya segera membuat laporan polis, beliau percaya tuduhan terhadap dirinya hanya sekadar serangan politik.

“Perkara ini tiada kaitan dengan saya. Saya hanya memenuhi jemputan. Saya nasihatkan kepada mereka yang terlibat dengan isu ini untuk tampil buat laporan polis dan biar polis tentukan sebarang tindakan selepas ini.

"Saya tiada kaitan dan tidak tahu menahu, semua dakwaan itu hanya kepentingan politik sahaja, hendak dikaitkan dengan semua benda,” katanya.

Di samping itu, beliau juga turut berpesan kepada rakyat Kelantan dan orang ramai agar tidak mudah terjebak dan percaya kepada sindiket penipuan seperti itu.

Sentiasa berwaspada dalam setiap kerja yang dilakukan bagi memastikan rezeki yang diperolehi adalah halal.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS itu telah dikaitkan dengan sebuah syarikat yang telah menipu lebih 1,000 rakyat negeri Kelantandalam perniagaan perkhidmatan membungkus makanan dari rumah. -Kedahnews.com