Najib Gesa Korea Utara Lepaskan Rakyat Malaysia


ALOR SETAR - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemerintah Korea Utara yang sengaja menjadikan rakyat Malaysia di negara itu sebagai tebusan dan dihalang untuk keluar meninggalkan republik berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa tindakan pemerintah negara itu adalah satu penghinaan kepada Malaysia dan bertentangan dengan undang-undang serta diplomatik antarabangsa.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya keputusan Korea Utara untuk menghalang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

"Perbuatan hina ini, menahan rakyat kita sebagai tebusan, adalah melanggar semua undang-undang antarabangsa dan norma diplomatik," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan di ibu negara, hari ini.

Tegas Mohd Najib, Malaysia merupakan sebuah negara yang cintakan keamanan dan amat komited dalam mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dengan semua negara dunia.

Namun begitu kata beliau, soal keselamatan rakyat Malaysia merupakan keutamaan baginya dan negara ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya mereka terancam oleh mana-mana pihak.

"Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan, Malaysia komited untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.

"Walau bagaimanapun, melindungi rakyat kita adalah keutamaan saya, dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala langkah yang perlu apabila mereka terancam," ujar beliau.

Sebagai langkah awal, Perdana Menteri bakal mengadakan satu mesyuarat tergempar melibatkan Majlis Keselematan Negara.

Selain itu, beliau turut mengarahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar untuk menghalang semua rakyat Korea Utara keluar dari negara ini selagi tidak diberi jaminan berhubung keselamatan semua rakyat Malaysia yang berada di negara terbabit.

 "Saya telah memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara.

"Saya juga telah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk menghalang semua rakyat Korea Utara di Malaysia dari meninggalkan negara ini sehingga kita diberi jaminan tentang keselamatan semua rakyat Malaysia di Korea Utara," tegasnya.

Mohd Najib turut menyeru kepimpinan Korea Utara supaya segera memberi kebenaran kepada rakyat Malaysia untuk keluar meninggalkan negara itu bagi mengelak sebarang masalah yang selanjutnya.

Semalam, Korea Utara mengumumkan langkah menghalang semua rakyat Malaysia yang berada di republik itu untuk meninggalkan negara berkenaan.

Tindakan tersebut dikatakan adalah tanda protes Korea Utara terhadap konflik yang berlaku berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Selatan, Kim Jong-un. - Kedahnews.com