Nazri Aziz Gembira Berjaya Buat Zainuddin Maidin Sakit Hati


ALOR SETAR - Datuk Seri Nazri Aziz meluahkan rasa gembiranya ekoran kata-katanya bukan saja mendapat perhatian Tun Dr Mahathir Mohamad, malah turut sama menyebabkan Tan Sri Zainudin Maidin sakit hati dan marah padanya.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, beliau sememangnya berniat mahu menyakitkan hati Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, namun tidak menyangka bekas calon BN yang tewas bertanding pilihan raya di Parlimen Sungai Petani juga terkesan dengan kenyataannya.

"Memang saya berniat mahu menyakiti hati Mahathir dan penyokongnya. Jelas sekali, Zainuddin sakit hati apabila dia menjawab dan saya sangat gembira sebenarnya.

"Kesimpulannya, saya berada di sini bukan untuk menggembirakan mereka. Saya di sini hanya untuk melakukan kerja saya," katanya gembira gara-gara "lastiknya mengena dua burung sekaligus".

Mengulas tentang hinaan terhadapnya, Nazri menjelaskan bahawa beliau tidak terkesan langsung dengan gelaran "pondan Padang Rengas" itu ekoran kedudukan Zainudin yang merupakan seorang ahli politik yang tewas dan "tersingkir" dari arus politik perdana.

"Dia kalah pilihan raya di tangan kawan saya, Datuk Johari Abdul daripada PKR pada 2008. Dia tak wakili sesiapa pun kecuali dirinya sahaja.

"Jadi saya tak kisah langsung sebab dia ahli politik tersingkir," katanya memetik laporan FMT.

Nazri sebelum itu mencabar Mahathir supaya bertanding menentangnya di Parlimen Padang Rengas ekoran beliau difahamkan Pengerusi PPBM itu akan ke kawasannya pada 25 Mac ini untuk berkempen.

Mahathir dalam reaksi balasnya mencabar semula Nazri supaya bertanding di Parlimen Langkawi yang kononnya merupakan "milik" Pengerusi PPBM itu.

Zainuddin yang melenting susulan dari insiden cabar mencabar antara Nazri dan Mahathir kemudiannya menggelar Menteri berkenaan sebagai "pondan Padang Rengas" ekoran tidak melayan cabaran Mahathir tersebut.

Hasil dari pertikaian antara mereka telah menimbulkan spekulasi yang mendakwa Mahathir telah mencalonkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada PRU ke-14 nanti. -Kedahnews.com