Negeri Tak Boleh Kerjasama Dengan PPBM Sebelum Majlis Syura Buat Keputusan - PAS


ALOR SETAR - Semua PAS Negeri di negara ini tidak boleh membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ada keputusan di peringkat Majlis Syura.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan bahawa hasil pertemuan partinya dengan PPBM sebelum ini tidak menghasilkan sebarang kata putus mengenai kerjasama politik antara kedua parti berkenaan.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau turut bersetuju dengan kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yaakob, yang sebelum ini menegaskan bahawa tidak ada sebarang dalam keputusan pembahagian kerusi pilihan raya dengan PPBM seperti yang didakwa.

Selain itu, Mohd Amar turut menjangkakan Muktamar PAS ke-62 yang bakal berlangsung di Kedah pada penghujung April ini akan hangat membahaskan hubungan partinya dengan sekutu rapat DAP di dalam Pakatan Harapan, iaitu PKR.

Kata beliau, walaupun hubungan antara PAS dan PKR kini masih terjalin, namun muktamar kali ini bakal menjadi medan penentu sama ada hubungan tersebut akan diteruskan atau ditamatkan oleh pucuk pimpinan parti berkenaan.

"Buat masa ini, hubungan dengan PKR masih wujud, namun sebab muktamar kali ini memfokuskan kepada pemilihan calon dan rakan kerjasama bagi menghadapi PRU, kita akan putuskan hendak teruskan hubungan dengan PKR atau tidak.

"Jika ada perubahan mesti dibuat ikut proses Muktamar PAS," katanya.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mendakwa PAS ada menjemput partinya untuk berbincang mengagih-agihkan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Namun begitu, kenyataan tersebut dinafikan oleh Ahmad, Mohd Amar dan seorang lagi Naib Presiden PAS, Idris Ahmad serta menjelaskan bahawa tiada sebarang jemputan dibuat kepada PPBM.

PAS sebelum ini menggesa PPBM dan PKR supaya meninggalkan Pakatan Harapan dan bergabung di dalam blok ketiga pembangkang, Gagasan Sejahtera, yang diketuai oleh PAS dan sekutunya, Parti Ikatan.

Walau bagaimanapun, pelawaan PAS itu bukan saja dipandang sinis oleh PPBM dan PKR, malah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pembangkang akan gagal mendapatkan kuasa di negara ini jika kedua parti itu memenuhi kehendak PAS tersebut.

Ekoran itu, berlaku serang menyerang dan pertikaman lidah di antara pucuk pimpinan PAS dengan PPBM secara terbuka di dada media. - Kedahnews.com