Nikmati Keropok Lekor, Murtabak Sepanjang Penerbangan Air Asia


ALOR SETAR - Pihak penerbangan Air Asia bakal menyajikan menu baharu yang popular bagi masyarakat tempatan seperti keropok lekor, murtabak diraja dan kerepek pisang ketika dalam penerbangan.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, pihaknya sudah berunding dengan syarikat tambang murah tersebut bagi tujuan perlaksaan dalam masa terdekat.

"Kita mempunyai banyak produk makanan tempatan yang boleh disajikan dalam pesawat seperti martabak diraja, keropok lekor dan kerepek pisang yang sekali gus mempelbagaikan lagi hidangan cita rasa tempatan.

"Untuk perkara itu, rundingan sudah pun dibuat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sendiri mengenai usahasama pemasaran produk warisan masyarakat ini dalam masa terdekat," katanya.

Namun begitu, sebelum perlaksaan menu tersebut, pelbagai kriteria perlu di teliti terlebih dahulu oleh pihak Air Asia terutama daripada aspek pembungkusan, rasa dan kualiti kebersihan menu tersebut sebelum dihidangkan kepada pelanggan.

"Secara dasarnya kita mencapai persetujuan, namun AirAsia mahu meneliti beberapa kriteria terutama aspek pembungkusan, rasa dan kualiti kebersihan sama ada sesuai dihidangkan untuk pelanggan penerbangan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Prihatin Kemubu (KADA) di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut, baru-baru ini. - Kedahnews.com