ALOR SETAR - Setelah sekian lama berteka-teki, akhirnya pelakon Nora Danish Mohd Hanif dilapor bakal menamatkan status ibu tunggalnya pada 30 Mac ini bersama pasangannya, Nedim Nazri.
Memilih konsep tradisional, majlis pernikahan pasangan itu difahamkan bakal diadakan secara tertutup di ibu negara dan hanya dihadiri ahli keluarga serta rakan terdekat kedua-dua belah mempelai.
Ibu kepada Putera Rayqal itu sebelum ini telah mengambil sikap berdiam diri untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pernikahan tersebut setelah segalanya selesai.
"Selepas majlis itu selesai, saya akan kongsi semuanya. Tapi majlis ini adalah untuk ahli keluarga dan rakan sahaja," ujar Nora memetik laporan Utusan.
Dalam satu kenyataan Nora sebelum ini, dia berkata bahawa akan bernikah pada tahun ini namun majlis yang bakal berlangsung hanya majlis sederhana.
Nedim yang juga merupakan anak kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, itu pernah berkahwin dengan Nabilah Khan dan dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Mohamed Nedrin. - Kedahnews.com