Olala Laksa Cendol Di Mergong, Belum Cuba Belum Tahu


ALOR SETAR -  "Olala laksa cendol" memang terkenal dengan nama hidangan yang agak pelik, namun keistimewaan 14  jenis cendol yang dijual di gerai Olala Laksa Cendol Durian di Mergong, Alor Setar dikatakan amat sukar ditolak penggemar minuman ini.

Gerai yang dibuka setiap hari bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 6.30 petang itu dilihat makin mendapat sambutan tidak mengira peringkat umur.


Difahamkan cetusan idea menghasilkan aneka jenis cendol ini diperoleh dari bapa mertua kepada pemilik gerai, Suhaimi Shuib yang dikenali sebagai Shuib Harun, ketika dia mengunjungi bandaraya Melaka suatu masa dahulu.

Selain itu, nama-nama yang unik ini diambil hasil gabungan bahan-bahan yang dicampur untuk dijadikan resepi baru dan unik namun masih enak untuk dinikmati pelanggan.


Selain dari cendol biasa, terdapat cenlut, cengong, cenlutong, cendi, cenbu, cenpai, cenyan, cenlutnyan dan cenlutgongyan adalah nama setiap hidangan minuman itu.

Cenpai (cendol tapai), cendi (cendol ubi keladi) dan cenbu (cendol labu) juga merupakan antara hidangan unik yang mencipta kelainan dan turut dijual di gerai berkenaan yang agak sukar didapati di tempat lain.


Perkembangan terkini, cenlutyan iaitu cendol pulut durian kembali memeriahkan menu dan menjadi hidangan semula pada 5 Mac lalu setelah lama tidak ada dalam menu kerana stok buah durian sukar diperolehi.

Harga cendol yang dijual adalah serendah RM3 sehingga RM10 mengikut bahan perasa dan citarasa yang diingini pelanggan.

Olala Laksa Cendol mempunyai dua cawangan gerai termasuk satu di Kampung Mempelam Jalan Putra, yang dikendalikan Shuib Harun. - Kedahnews.com