Ong Tee Kiat Sah Keluar MCA


KUALA LUMPUR – Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat bukan lagi ahli MCA selepas lebih 30 tahun berada di dalam parti, menurut laporan daripada portal berita BNBBC pada Khamis.

Laman sesawang berkenaan memetik satu laporan daripada portal tempatan lain yang tidak didedahkan sebagai menyatakan bahawa Tee Keat, 60, mengesahkan perkara tersebut melalui kiriman balasan mesej teks.

Perkara itu pada mulanya didedahkan terlebih dahulu oleh sebuah akhbar harian berbahasa Cina pada Rabu. Menurut laporan berkenaan, bekas Ahli Parlimen Pandan itu keluar parti tersebut berkuat kuasa 2 Januari lalu.

Mantan presiden MCA yang kelapan dari 2008 hingga 2010 itu dilaporkan berkata bahawa beliau merasakan tidak lagi sesuai untuk terus kekal dalam parti berkenaan dan mengambil keputusan untuk meninggalkannya.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut sama ada Tee Kiat yang pernah menjadi kolumnis akhbar Sin Chew Jit Poh dan penulis skrip drama radio Cina RTM itu berkemungkinan mahu pula menyertai parti pembangkang.


Pada Pilihan Raya Umum 2013 lalu, beliau tidak dicalonkan untuk mewakili komponen Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi parlimen Pandan disandangnya sejak 2004 yang kemudian jatuh kepada PKR.

Selain itu, Tee Kiat juga tewas dalam perebutan jawatan Presiden MCA semasa pemilihan semula MCA pada 2013 yang menyaksikan bekas ahli Parlimen Labis, Tan Sri Dr. Chua Soi Lek menang di sebalik isu skandal seks.

Tee Keat yang dilahirkan di Kuala Lumpur dan juga merupakan seorang jurutera, pernah dilantik sebagai Menteri Pengangkutan dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat sepanjang menjadi Ahli Parlimen untuk BN serta MCA.

Terdahulu, ada ura-ura menyatakan bahawa beliau yang dikatakan agak rapat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menyertai PKR dan DAP sebagaimana beberapa pemimpin MCA sebelum itu. – Agensi