KUALA LUMPUR - Selepas terpalit dengan kisah percintaan kontroversi, pelakon dan pengacara Neelofa kini mahu diberi ruang untuk meneruskan kehidupannya dengan lebih tenang.
Menurut Neelofa, 28, dia mahu kekal positif dan enggan terus dikaitkan secara peribadi dengan pelakon Fattah Amin.
"Sejujurnya saya dah tak nak komen apa-apa kerana dah banyak sangat buat komen sampai orang suruh saya senyap.
"Lebih baik saya tak komen apa-apa lagi. Saya nak kekal positif," katanya.
Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor ditemui pada majlis pelancaran butik kedua Naelofar Hijab di pusat beli belah Publika di sini pada Rabu.
Ditanya jika dia sekali lagi diberi tawaran untuk bergandingan bersama Fattah dalam drama, wanita berkenaan juga enggan mengulas mengenai hal itu.
"Saya tak ada apa nak komen mengenainya lagi... cukuplah, cukuplah," katanya ringkas.
Sebelum ini Neelofa didakwa menarik diri daripada membintangi drama dalam siri Hero Seorang Cinderella arahan Michael Ang yang diadaptasi berdasarkan sebuah novel popular dan dijangka disiarkan di saluran Astro Ria tidak lama lagi.
Dalam pada itu mengulas mengenai perniagaan Naelofar Hijab yang semakin berkembang sehingga berjaya membuka cawangan kedua di kawasan elit, Neelofa berkata dia bersyukur produk tudung keluarannya semakin diterima ramai.
Namun jelasnya, kejayaan itu bukan bersandarkan kepada kontroversi yang sering dikaitkan dengannya sebagai penggiat industri hiburan.
"Saya tak nafikan kewujudan saya dalam industri membantu perniagaan ini kerana dari segi pemasaran saya tak perlu berusaha lebih seperti orang lain.
"Tapi jika nak cakap kontroversi telah beri kesan sama ada baik atau buruk... ia sebenarnya bukan begitu," katanya.
Jelas Neelofa, dia yakin sesuatu produk itu akan berjaya menambat hati pengguna jika ia berkualiti.
"Setiap perniagaan produk harus berdiri sendiri. Saya hanya bantu di belakang sahaja.
"Kalau bagus orang akan suka dan ia akan berkembang walaupun tanpa saya," katanya.
Cawangan kedua Naelofar Hijab di Publika mula beroperasi pada 1 Februari lalu selepas butik pertama di buka pada 2015 di Taman Tun Dr Ismail.
Sumber: mStar